Rabu, 22 Disember 2021 | 10:35am
(Gambar fail) Ujian kelajuan perkhidmatan 5G syarikat telco baru-baru ini. - BERNAMA
(Gambar fail) Ujian kelajuan perkhidmatan 5G syarikat telco baru-baru ini. - BERNAMA

5G perlu disegerakan jika tak mahu ketinggalan

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mempercepatkan penggunaan 5G sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadi peneraju dalam ekonomi digital di rantau ini, demikian kata penganalisis.

Ketika ini, Malaysia sudah ketinggalan berbanding negara jiran seperti Thailand dan Singapura dalam pelaksanaan rangkaian 5G.

Malah, Korea Selatan, Jepun, China dan Taiwan sudah mempunyai liputan dan penggunaan 5G yang kukuh.

"Bagi Malaysia untuk mencapai cita-cita menjadi pemimpin serantau dalam ekonomi digital, kami percaya terdapat keperluan untuk mempercepatkan pelaksanaan dan penggunaan 5G," kata Kenanga Research dalam nota penyelidikannya.

Kenanga Research berpendapat pembabitan yang lebih besar syarikat telekomunikasi dalam pelancaran 5G Digital Nasional Bhd (DNB) boleh memberikan lebih sedikit kawalan kepada syarikat telekomunikasi ke atas rangkaian.

Ia menjelaskan, senario yang ideal masih lagi setiap syarikat telekomunikasi memiliki dan mengawal rangkaian mereka sendiri menggunakan spektrum masing-masing.

Justeru, katanya, model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) DNB akan mengurangkan skop persaingan dan pembezaan telekomunikasi dengan ketara, yang mana ia mengurangkan insentif syarikat telekomunikasi untuk berinovasi dalam membangunkan penggunaan 5G yang baharu.

"Kami percaya struktur kompleks dan rundingan yang berpanjangan boleh melambatkan lagi penggunaan rangkaian, memburukkan lagi kebimbangan sedia ada di dalam industri," katanya.

Kenangan Research berpandangan bahawa SWN boleh menyebabkan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) kehilangan aliran pendapatan baharu daripada kes penggunaan 5G.

Justeru, cabang penyelidikan Kenangan Investment Bank Bhd itu kekal berhati-hati terhadap MNO dengan mengekalkan saranan 'UP' bagi saham Maxis dan Digi berikutan ketidaktentuan berterusan dan kemungkinan prospek 5G yang kurang memberangsangkan.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata walau apa juga model yang dilaksanakan untuk pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini, ia perlu memberi manfaat kepada semua pihak.

Beliau berkata, kajian berdaya maju seharusnya dilaksanakan supaya keputusan yang dibuat mengambil kira pelbagai aspek.

"Di samping itu, sudut ketelusan dan kebertanggungjawaban perlu juga dititikberatkan supaya dapat meyakinkan masyarakat umum bahawa kerajaan membuat setiap keputusan dengan mengutamakan kebajikan rakyat Malaysia," katanya.

Berita Harian X