Isnin, 20 Disember 2021 | 9:45pm
Gambar fail. - Bloomberg
Gambar fail. - Bloomberg

Banjir: BNM umum kemudahan pembiayaan PMKS RM200 juta

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM200 juta yang disediakan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat banjir di seluruh negara baru-baru ini melalui Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (DRF 2022).

Menurut bank pusat itu dalam kenyataan hari ini, DRF 2022 akan membantu PMKS menampung kos membaiki dan/atau mengganti aset untuk kegunaan perniagaan seperti loji dan mesin yang telah rosak akibat banjir; dan/atau untuk modal kerja.

"DRF 2022 ini tersedia untuk PKS, termasuk perusahaan mikro, dengan jumlah pembiayaan maksimum hingga RM500,000 bagi setiap PKS dan hingga RM75,000 bagi setiap perusahaan mikro.

"Tempoh pembiayaan adalah hingga lima tahun, termasuk tempoh moratorium selama enam bulan ke atas bayaran pokok dan faedah/keuntungan. Kadar pembiayaan adalah hingga 3.50% setahun, termasuk apa-apa fi jaminan.

"Kemudahan ini akan disediakan mulai 27 Disember 2021 sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya (atau sehingga diberitahu kelak, bergantung pada situasi banjir)," katanya.

Tambah BNM, perniagaan yang terjejas boleh memohon daripada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM.

"Para peniaga boleh menghubungi BNM melalui bnm.gov.my/LINK sekiranya mereka menghadapi sebarang kesulitan berhubung dengan kemudahan di atas. Industri perbankan dan insurans beriltizam untuk membantu pihak yang terjejas.

"Industri kewangan telah mengumumkan pelbagai inisiatif bantuan banjir. Untuk butiran lanjut, orang ramai boleh menghubungi institusi kewangan mereka dengan merujuk laman sesawang institusi-institusi berkenaan," katanya.

Berita Harian X