Isnin, 20 Disember 2021 | 7:32pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

New Zealand kaitkan kematian lelaki dengan vaksin Pfizer

SYDNEY: Pihak berkuasa New Zealand hari ini mengaitkan kematian seorang lelaki berusia 26 tahun dengan pengambilan vaksin Pfizer

Individu itu mengalami miokarditis atau keradangan pada otot jantung, suatu kesan sampingan yang jarang berlaku, selepas mengambil dos vaksin pertamanya.

Ia adalah kematian kedua di New Zealand yang dikaitkan dengan kesan sampingan vaksin, selepas pihak berkuasa kesihatan pada Ogos lalu melaporkan seorang wanita meninggal dunia sebaik disuntik dos vaksin.

"Dengan maklumat semasa yang ada, kami menganggap miokarditis mungkin disebabkan oleh vaksinasi pada individu ini," menurut Lembaga Pemantauan Keselamatan Bebas Vaksin COVID-19 dalam kenyataannya.

Lelaki itu meninggal dunia dua minggu selepas menerima dos pertamanya dan tidak mendapatkan nasihat perubatan atau rawatan untuk simptom yang dialaminya.

Miokarditis adalah keradangan pada otot jantung yang boleh mengehadkan keupayaan organ itu untuk mengepam darah dan boleh menyebabkan perubahan kepada degupan jantung.

Jurucakap Pfizer pula berkata, syarikat itu mengambil maklum dengan laporan kematian di New Zealand, sentiasa memantau semua laporan kemungkinan kejadian buruk dan terus percaya profil manfaat vaksinnya adalah positif.

Lembaga Keselamatan Vaksin New Zealand juga berkata dua lagi individu, termasuk seorang kanak-kanak berusia 13 tahun, meninggal dunia dengan kemungkinan miokarditis selepas mengambil vaksin mereka.

Namun, butiran lanjut masih diperlukan sebelum mengaitkan kematian kanak-kanak itu dengan vaksin manakala kematian seorang lelaki berusia 60-an pula kemungkinan tidak berkait dengan vaksin itu.

Biarpun kesan sampingan seumpamanya jarang berlaku, lembaga itu berkata manfaat vaksinasi masih banyak mengatasi risikonya. - AGENSI

Berita Harian X