Rabu, 15 Disember 2021 | 3:41pm
Gambar fail. - NSTP/ZAMAN HURI
Gambar fail. - NSTP/ZAMAN HURI

Pengeluaran getah asli susut 5.9 peratus dalam 10 bulan

KUALA LUMPUR: Prestasi pertumbuhan pengeluaran getah asli Malaysia mencatatkan penurunan 5.9 peratus tahun ke tahun kepada 397,486 tan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini daripada 422,324 tan tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Pengeluaran getah asli pada Oktober 2021 berjumlah 43,127 tan, merosot 13.6 peratus daripada 49,943 tan dalam bulan yang sama tahun lepas tetapi meningkat 4.7 peratus berbanding 41,180 tan yang dicatatkan pada September, katanya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran getah asli Malaysia pada Oktober 2021 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (90.5 peratus) sementara sektor estet selebihnya.

Jumlah stok getah asli turun 3.6 peratus kepada 281,723 tan berbanding 292,312 tan pada September 2021.

Sementara itu, eksport getah asli Malaysia berjumlah 62,167 tan pada Oktober 2021, merosot 0.3 peratus berbanding September 2021 (62,332 tan).

China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli iaitu 56.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Oktober 2021 diikuti Pakistan (3.2 peratus), Amerika Syarikat (3.0 peratus), Iran (2.7 peratus) dan Jerman (2.1 peratus).

"Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

"Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.6 billion pada Oktober 2021, susut sebanyak 15.0 peratus berbanding September 2021 (RM3.1 billion)," jelas beliau.

– Bernama

Berita Harian X