Isnin, 13 Disember 2021 | 6:44pm
Tinjauan tapak pembinaan sekitar Kuala Lumpur. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Tinjauan tapak pembinaan sekitar Kuala Lumpur. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Kerajaan perlu campur tangan tangani kenaikan harga binaan - REHDA

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) termasuk enam pemain industri lain menggesa kerajaan untuk terus memantau aktiviti pencatutan dan anti persaingan dalam rantaian bekalan bahan binaan.

Mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata harga bahan binaan telah naik mendadak sejak beberapa bulan kebelakangan ini sehingga memberi kesan kepada kos menjalankan perniagaan, mengakibatkan lonjakan kos pembinaan antara 13 dan 20 peratus.

Keluli telah meningkat kira-kira 40 peratus dan pasir, menokok sebanyak 20 peratus sejak Oktober 2020 sehingga memberi tekanan terhadap margin keuntungan syarikat yang sudah pun semakin berkurangan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh REHDA, Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Persatuan Kontraktor Bumiputera Wibawa, Persatuan Kontraktor Bersatu Malaysia dan Persatuan Kontraktor India Malaysia.

Mereka juga mencadangkan kepada kerajaan untuk mempercepatkan kemasukan pekerja asing bagi menangani kekurangan semasa.

"Berdasarkan pemerhatian, antara faktor utama yang mempengaruhi kenaikan harga adalah disebabkan oleh lonjakan kos bahan mentah, kekurangan pekerja asing, kenaikan kos logistik, peningkatan harga minyak mentah dan kos tenaga," kata mereka.

Pemain industri meminta kerajaan untuk memberi perhatian segera kerana keadaan ini akan menjejaskan sektor hartanah serta pembinaan, selain daripada memberi kesan buruk kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Mereka juga mencadangkan agar kerajaan melanjutkan klausa Variasi Harga (VOP), yang membabitkan projek kerajaan, sekurang-kurangnya 12 bulan lagi kerana mereka menjangkakan harga akan kekal tidak menentu melangkaui 31 Disember 2021.

"Untuk projek swasta, kerajaan harus menggalakkan pemilik projek memperkenalkan VOP dalam kontrak mereka," kata kenyataan itu.

Jika dibiarkan tanpa pengawasan, keadaan sekarang boleh membawa kepada kerugian projek dan menjejaskan aliran tunai.

"Pemaju mungkin tidak mempunyai pilihan selain melepaskan kos tambahan kepada pembeli rumah manakala kontraktor yang tidak dapat menyerap lebihan kos ini terpaksa menghentikan kerja mereka," tambahnya. – Bernama

Berita Harian X