Isnin, 13 Disember 2021 | 6:32pm
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - NSTP/DANIAL SAAD
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - NSTP/DANIAL SAAD

Malaysia mantapkan usaha bangunkan ekosistem EV

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus mengukuhkan usaha dalam membangunkan ekosistem kenderaan elektrik (EV) melalui pelbagai dasar yang akan dilaksanakan kelak.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata berdasarkan hasrat itu, kerajaan akan mula melaksanakan dasar EV negara pada awal tahun hadapan.

Beliau berkata, ketika ini pelbagai perbincangan telah dijalankan MITI bersama dengan beberapa Kementerian dan agensi berkaitan yang lain bagi usaha mengukuhkan ekosistem EV di Malaysia.

Katanya, antara dasar EV yang akan dilaksanakan adalah membangunkan kemudahan yang komprehensif seperti stesen pengecasan selain melihat kepada keperluan dasar tenaga. "

Dasar tenaga ini antara yang akan dilaksanakan MITI dengan kerjasama Kementerian lain bagi melihat dan memastikan keperluan tenaga mencukupi bukan saja untuk pihak industri dan isu rumah tetapi kepada keperluan industri EV tempatan.

"Lebih banyak pelaksanaan akan dilaksanakan selepas kerjasama dengan Kementerian Kewangan memperkenalkan inisiatif dan insentif pembelian kenderaan EV baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sijil kepada empat perantis Program Perantisan Pemindahan Teknologi (TTAP) Malaysia. Azmin berkata, langkah Malaysia dalam meratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) juga akan memberikan kelebihan kepada industri automotif negara terutamanya EV dalam mengembangkan perdagangan.

Beliau berkata, kedua perjanjian perdagangan bebas (FTA) itu adalah penting dalam memastikan Malaysia dapat bersaing serta memperluaskan perdagangan.

Katanya, ia akan membolehkan syarikat tempatan akan lebih kukuh dan mampu meningkatkan kemahiran teknologi terutamanya dalam sektor EV.

Selain itu katanya, ilmu dan teknologi yang diperoleh melalui proses pemindahan program TTAP itu juga selari dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) yang juga dasar penting demi melonjakkan Malaysia di persada dunia dalam bidang teknologi dan industri termaju.

"Dalam proses evolusi Malaysia menjadi pusat serantau untuk penyelidikan dan pembangunan automotif, pembuatan dan teknologi pembangunan yang mampan, NAP 2020 juga akan memastikan industri domestik terus berdaya saing dengan pengenalan elemen teknologi termaju baharu.

"Seperti yang kita lihat di negara maju, industri automotif tempatan yang berdaya saing dapat memacu semua sektor industri dan ekonomi mereka secara menyeluruh.

"Ini disebabkan penguasaan mereka di dalam pelbagai aspek kejuruteraan, sains dan teknologi yang dapat diaplikasikan dalam membangunkan apa sahaja produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi yang dibangunkan daripada teknologi pembuatan automotif," katanya.

Berita Harian X