Isnin, 13 Disember 2021 | 10:16am
Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khadijah Iskandar.
Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khadijah Iskandar.

Agrobank tawar kemudahan pembiayaan pertanian bandar

KUALA LUMPUR: Agrobank menawarkan pelbagai produk dan inisiatif berteraskan revolusi perindustrian 4.0 (4IR) dalam menyokong modenisasi pertanian termasuklah pertanian berkonsepkan teknologi pintar seperti penggunaan dron, internet kebendaan (IoT) dan pertanian bandar (urban farming).

Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khadijah Iskandar, berkata Agrobank sentiasa komited dalam mendukung aspirasi negara untuk memajukan sektor pertanian khususnya menerusi pembangunan teknologi pertanian.

Katanya, sejak penubuhan Agrobank pada tahun 1969, telah menjadi nadi kami untuk terus membantu dan memberi sokongan kepada komuniti pertanian termasuklah daripada aktiviti pertanian huluan dan hiliran berskala kecil, sederhana dan besar.

"Ini bagi memastikan jaminan bekalan makanan negara mencukupi sekali gus meningkatkan produktiviti hasil pertanian.

"Menyedari akan kepentingan teknologi dalam memacu sektor pertanian negara, Agrobank menawarkan pelbagai produk dan inisiatif berteraskan 4IR dalam menyokong modenisasi pertanian termasuklah pertanian berkonsepkan teknologi pintar seperti penggunaan dron, IoT dan pertanian bandar," katanya kepada BH menerusi emel baru-baru ini.

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan model pertanian pintar yang boleh dilaksanakan dalam skala kecil, sederhana atau besar sebagai strategi meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran dalam negara, bermula tahun depan.

Model pertanian secara tertutup menggunakan sistem rumah perlindungan hujan, mengguna pakai sistem pengairan dan pembajaan secara automasi melalui kawalan berkomputer atau aplikasi internet kebendaan (IoT), pencahayaan LED, penghawa dingin dan hidroponik bertingkat.

Difahamkan modal diperlukan untuk menyediakan model berskala kecil yang dilengkapi dengan sistem asas serendah RM10,000, bergantung saiz kawasan dan rumah perlindungan hujan.

Mengulas lanjut Khadijah berkata, seperti yang telah diumumkan ketika sesi pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini, Agrobank akan terus memainkan peranannya dalam pembangunan sektor mikro dengan memperuntukkan pembiayaan mikro sebanyak RM250 juta pada kadar sifar peratus bagi tempoh enam bulan pertama beserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

Katanya, setelah peruntukan RM250 juta itu habis digunakan sepenuhnya, para pengusaha mikro masih boleh menikmati pembiayaan mikro Agrobank dengan kadar keuntungan serendah 3.0 peratus.

"Selain daripada itu, kami turut menawarkan pelbagai produk pembiayaan lain bagi tujuan yang sama seperti Machinery & Equipment Financing-i (MAEF-i) iaitu kemudahan pembiayaan bagi membiayai pembelian mesin dan peralatan pertanian khusus bagi menyokong garapan teknologi dalam sektor ini.

"Kami juga mempunyai pelbagai program dengan kerjasama syarikat berteraskan pertanian untuk membantu golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan B40 dalam menceburi bidang pertanian yang bermatlamat untuk meningkatkan hasil, mempelajari proses pertanian, menjana pendapatan dan peluang pembiayaan yang lebih baik," katanya.

Berita Harian X