Isnin, 6 Disember 2021 | 12:02pm
Pertanian menyumbang 6.8 peratus kepada jumlah dagangan Malaysia tahun lalu -NSTP/Syafeeq Ahmad
Pertanian menyumbang 6.8 peratus kepada jumlah dagangan Malaysia tahun lalu -NSTP/Syafeeq Ahmad

Sumbangan pertanian kepada dagangan negara merosot

PUTRAJAYA: Sumbangan keluaran pertanian kepada jumlah dagangan Malaysia merosot kepada 6.8 peratus tahun lalu, berbanding 13.7 peratus pada 1990.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kemerosotan itu berikutan kemunculan sektor pembuatan sebagai peneraju dalam mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB), diikuti oleh kebangkitan ekonomi berasaskan perkhidmatan pada 1990-an seiring dengan arus pembangunan negara.

Bagaimanapun, katanya, pertanian muncul sebagai sektor kedua terpenting perdagangan Malaysia tahun lalu, mengatasi perdagangan hasil perlombongan.

"Walaupun sumbangan sektor pertanian secara relatifnya kepada ekonomi dan perdagangan Malaysia semakin mengecil dari tahun ke tahun, sektor ini kekal signifikan terutamanya sebagai pembekal utama makanan serta bahan mentah kepada industri berasaskan sumber.

"Justeru, usaha penyelidikan perlu dipertingkatkan ke arah teknologi mampan untuk meningkatkan pengeluaran dan kualiti barangan berasaskan pertanian, seterusnya memenuhi keperluan penduduk dan permintaan pasaran dunia.

"Produk pertanian eksport utama Malaysia pada 2020 terdiri daripada minyak kelapa sawit, kayu balak, kayu gergaji & kayu kumai dan getah asli. Destinasi utama eksport barangan pertanian Malaysia ialah China, Kesatuan Eropah, dan India," katanya dalam laporan Malaysia Trade Statistics Review (MTSR).

Mohd Uzir berkata, Malaysia yang dulunya adalah pengeksport bersih makanan laut, bertukar kepada pengimport bersih dengan nilai import RM3.4 bilion pada 2020.

"Malaysia mengimport makanan laut terutama ikan yang dibekukan, ikan segar atau disejukkan dan kepingan isi ikan. Sementara itu, hasil laut yang dieksport terdiri daripada krustasea dan ikan yang dibekukan.

"Pada masa yang sama, Malaysia turut mengimport 30 hingga 40 peratus daripada keperluan beras negara. Malaysia mengimport sejumlah RM2.5 bilion beras pada 2020 terutamanya dari Vietnam, India dan Pakistan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia menyumbang masing-masing 25.8 peratus dan 34.3 peratus kepada pengeluaran dan eksport minyak kelapa sawit dunia tahun lalu, selepas mendominasi perdagangan sektor pertanian negara sejak 1990.

"Negara destinasi utama eksport minyak kelapa sawit Malaysia adalah ke India, China dan Kesatuan Eropah," katanya.

Beliau menjelaskan, Malaysia pernah menjadi pengeluar getah asli utama dunia pada 1930-an, namun eksport getah asli Malaysia hanya bernilai RM3.3 bilion tahun lalu, 0.3 peratus daripada jumlah eksport.

"Malaysia mendapat manfaat daripada pandemik COVID-19 apabila muncul sebagai pengeluar utama sarung tangan getah dunia pada 2020 dengan eksport berjumlah RM35.9 bilion, meningkat 104.5 peratus tahun ke tahun dan menyumbang kepada peningkatan import getah asli," katanya.

Berita Harian X