X
Jumaat, 3 Disember 2021 | 3:53pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto BERNAMA
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz - Foto BERNAMA

Teknologi elak ekonomi Malaysia terjejas teruk

KUALA LUMPUR: Kesan teknologi yang lebih meluas mengelakkan ekonomi Malaysia terjejas lebih teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata meskipun perniagaan fizikal terhad ketika pelaksanaan PKP pada peringkat awal, teknologi dinamik membolehkan aktiviti perniagaan dalam talian diteruskan.

"Pendigitalan menjadi aspek kritikal dalam mengukuhkan daya tahan ekonomi Malaysia. Malah, masih banyak ruang untuk pembangunan lebih pesat teknologi dalam aktiviti ekonomi," katanya pada sesi maya InFinity Forum dengan topik 'FinTech for an inclusive growth across the globe' hari ini.

Turut serta dalam sesi terbabit, Menteri Kewangan India, Nirmala Sitharaman dan Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati.

Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Perdana Menteri India, Dr Bibek Debroy bertindak sebagai moderator.

InFinity Forum dianjurkan secara bersama oleh International Financial Services Centres Authority (IFSCA), GIFT City dan Bloomberg.

Pada sesi berkenaan, Tengku Zafrul menegaskan, kerajaan kekal komited kepada pendigitalan selanjutnya untuk ekonomi dan penggunaan teknologi secara produktif untuk kebaikan rakyat.

"Malaysia melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) bagi memperkasakan rakyat merentasi semua aspek kehidupan.

"Celik digital, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, teknologi kewangan (FinTech), pendidikan, kesihatan dan banyak lagi antara menjadi tumpuan Malaysia.

"Kami memiliki pelan jangka panjang sehingga 2030 termasuk merangkumi pelaburan dalam rangka kerja digital nasional, syarikat telekomunikasi, mengukuhkan ketersambungan, pelaksanaan 5G di seluruh negara dan mengukuhkan perkhidmatan awam," katanya.

Beliau menjelaskan, kerajaan turut memberikan insentif kepada rakyat untuk beralih kepada pendigitalan.

"Selain rakyat, kerajaan juga menawarkan geran dan bantuan kepada perniagaan lebih kecil untuk memanfaatkan kaedah pembayaran elektronik (e-pembayaran) dan meluaskan jangkauan pelanggan menerusi e-platform.

"Hasilnya jelas apabila untuk tempoh sembilan bulan tahun ini, pendapatan e-dagang Malaysia berjumlah AS$190 bilion (RM802.7 bilion), melonjak 23 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu," katanya.

Berita Harian X