Jumaat, 3 Disember 2021 | 12:34pm
Usaha berterusan dilaksanakan oleh DOSM untuk mengurangkan jurang data bagi indikator SDG -NSTP/Hairul Anuar Rahim
Usaha berterusan dilaksanakan oleh DOSM untuk mengurangkan jurang data bagi indikator SDG -NSTP/Hairul Anuar Rahim

Malaysia capai 59 peratus indikator SDG

PUTRAJAYA: Malaysia mencapai 146 indikator atau 59 peratus Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) pada 2020, meningkat daripada 128 indikator atau 52 peratus pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata secara keseluruhan, negara menunjukkan prestasi pencapaian SDG yang baik pada 2020 dengan 49 indikator atau 34 peratus

merekodkan pencapaian positif.

"Selebihnya, 63 indikator atau 26 peratus masih perlu dibangunkan, 25 indikator atau 10 peratus tidak tersedia dan 13 indikator atau lima peratus tidak relevan kepada Malaysia.

"Penyusunan indikator ini adalah berdasarkan statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan dapatan survei serta rekod

pentadbiran daripada 36 agensi/kementerian," katanya dalam satu kenyataan.

DOSM hari ini menerbitkan Laporan Indikator SDG Malaysia 2020, iaitu laporan ketiga Indikator SDG di negara ini.

Laporan ini mengandungi 146 indikator di peringkat nasional dan 19 indikator di peringkat daerah yang menyediakan input bagi penilaian pencapaian SDG di Malaysia pada 2020.

Ia juga memaparkan matlamat dan bidang yang perlu diberi perhatian dalam usaha pemulihan negara yang terkesan oleh pandemik COVID-19.

Dalam konteks ketersediaan indikator mengikut matlamat pula, tiga matlamat yang mencapai ketersediaan indikator yang paling tinggi adalah Pendidikan Berkualiti (92 peratus); Industri, Inovasi dan Infrastruktur (92 peratus); dan Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan (89 peratus).

Manakala, matlamat yang mempunyai pencapaian terendah adalah Bandar dan Komuniti yang Mampan (29 peratus).

DOSM berkata, usaha berterusan dilaksanakan olehnya untuk mengurangkan jurang data bagi indikator SDG.

Antaranya, ia berkata adalah pelaksanaan Survei Indikator Isi Rumah Nasional (NHIS) 2021 bermula dari September hingga November 2021 yang meliputi tambahan 22 indikator SDG.

Katanya, hasil daripada Banci Penduduk dan Perumahan 2020 akan

menyumbang kepada 15 lagi indikator SDG manakala lapan indikator SDG akan diliputi dalam Banci Ekonomi yang akan datang.

"Peningkatan ketersediaan indikator SDG ini seterusnya akan dapat membantu kerajaan dalam membuat pemantauan terhadap pencapaian Agenda 2030," katanya.

Berita Harian X