Jumaat, 3 Disember 2021 | 10:58am
Singapura terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan projek HSR -NSTP/Hairul Anuar Rahim
Singapura terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan projek HSR -NSTP/Hairul Anuar Rahim

HSR wajar guna model kerjasama awam, swasta

KUALA LUMPUR: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura perlu dilaksanakan secara kerjasama awam dan swasta (PPP) supaya tidak membebankan kewangan kerajaan, kata penganalisis.

Ia memandangkan kos pembinaannya yang tinggi dan dijangka terus bertambah terutama selepas pandemik COVID-19.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata kenaikan mendadak kos pembinaan dan barang binaan seperti besi, simen, pasir dan sebagainya memerlukan unjuran perbelanjaan projek HSR diteliti dengan lebih mendalam.

Tambahan lagi, beliau berkata hutang kerajaan terus bertambah melalui pelbagai dasar fiskal yang sudah dan sedang diadakan seperti lapan program bantuan bernilai RM530 billion dan belanjawan negara yang besar untuk 2021 dan 2022, masing-masing berjumlah RM320 billion dan RM330.1 billion.

"Cadangan supaya tidak membebankan kewangan kerajaan adalah memilih pelaburan daripada pihak swasta melalui PPP, sama ada secara membina-mengendali-mengalih (BOT) atau membina-menyewa-mengalih (BLT).

"Pembiayaan swasta sepenuhnya adalah lebih praktikal dan logik seperti pelbagai projek PPP sebelum ini. Justeru, sekiranya pihak swasta mahu membina HSR, mereka juga mesti melaksanakan kajian kebolehlaksanaan.

"Sebagai contoh, dengan konsesi 30 tahun, pihak swasta akan dapat membuat keuntungan walaupun dengan pelaburan yang besar. Ini lebih bersesuaian berbanding kerajaan sendiri yang mengeluarkan sumber kewangan melalui pinjaman yang pastinya membebankan negara," katanya kepada BH.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan projek HSR itu walaupun kedua-dua negara sebelum ini bersetuju menamatkan projek berkenaan.

Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, HSR akan dikategorikan sebagai projek mega bagi kedua-dua negara, yang pastinya projek berimpak tinggi dan mampu memulihkan ekonomi kerana ia adalah pemangkin yang besar.

Katanya, dari sudut rantaian nilai bekalan industri pembinaan, ia mempunyai kesan yang begitu positif kepada ekonomi bermula daripada bekalan bahan mentah, tenaga pekerja, manakala nilai hartanah di sekitar stesen yang dipilih secara strategik akan meningkat.

"Malah permintaan makanan, tempat tinggal dan peningkatan perbelanjaan pengguna akan naik sebelum pembinaan HSR itu bermula. Pelbagai kelas kontraktor akan mendapat peluang dan peningkatan permintaan ke atas tenaga buruh akan turut meningkat.

"Apatah lagi ekonomi sekarang sedang melalui tempoh yang sukar dan memerlukan projek mega sebagai peneraju kepada pemulihan ekonomi. HSR mempunyai kualiti itu dan lokasi strategik menerusi penyambungan dua kawasan ekonomi terbesar di Semenanjung iaitu Lembah Klang dengan Johor dan Singapura," kataya.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman bagaimanapun berpendapat fokus kepada HSR bukan keutamaan yang perlu diteruskan sekurang-kurangnya dalam jangka masa pendek.

Jelasnya, negara masih dalam proses pemulihan ekonomi yang memerlukan intervensi pelaburan awam bagi memastikan ekosistem ekonomi lebih berdaya tahan, terutama dalam sektor kesihatan awam, pendidikan dan pembangunan sektor kecil dan sederhana.

"Selain itu, Malaysia sedang menjalankan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berperanan sebagai titik penyambung dua wilayah utama iaitu Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung.

"Projek berkenaan amat penting dalam memastikan jurang ketaksamarataan wilayah dapat dirapatkan melalui manfaat pembangunan dan memangkin pertumbuhan ekonomi di kawasan setempat sepanjang jajaran berkenaan," katanya.

Berita Harian X