Khamis, 2 Disember 2021 | 1:28pm
Prestasi ekonomi bertambah baik pada separuh tahun
Prestasi ekonomi bertambah baik pada separuh tahun

MERD beri gambaran ringkas keadaan ekonomi Malaysia

PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melancarkan Malaysia Economic Recovery Dashboard (MERD), platform yang memberi gambaran ringkas keadaan ekonomi semasa negara.

Dashboard itu mengandungi sembilan indikator ekonomi utama iaitu Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), Tenaga Buruh, Komoditi,

Harga, Pembuatan, Perkhidmatan, Perdagangan Antarabangsa, Imbangan Pembayaran dan Indikator Lain, yang merangkumi 39 sub-indikator dalam bentuk siri masa bulanan, suku tahunan serta tahunan.

Pelancaran MERD disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata MERD adalah inisiatif terkini DOSM bagi membantu meningkatkan kefahaman orang ramai dan usaha kerajaan dalam memulihkan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Katanya, melalui MERD, orang ramai dapat mengenali indikator ekonomi utama dan hubung kait antara sub-indikator yang memberi

gambaran perkembangan semasa dan pemulihan ekonomi negara.

"Adalah menjadi harapan DOSM agar orang ramai memanfaatkan dashboard yang disediakan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Uzir berkata, pandemik COVID-19 menjejaskan ekonomi negara dengan ketara, dengan KDNK menguncup sebanyak 5.6 peratus dan kadar pengangguran mencecah 4.5 peratus pada tahun lalu.

Katanya, keadaan yang tidak menentu berikutan pandemik COVID-19 turut menjejaskan kedudukan ekonomi pada keseluruhan tahun ini.

"Prestasi ekonomi telah bertambah baik pada separuh tahun

pertama ini dengan penguncupan yang lebih kecil sebanyak 1.1 peratus pada September 2021 berbanding penguncupan 4.7 peratus pada Ogos dan 7.6 peratus pada Julai 2021 hasil daripada pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) oleh kerajaan.

"MERD adalah relevan dalam senario semasa untuk memantau dan membantu kerajaan menggiatkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya.

Tambahan kepada dashboard itu, terdapat juga indikator daripada pelbagai sumber berkaitan COVID-19 seperti Google Mobility Trends dan COVID-19 Surveillance Dashboard yang tersedia untuk kegunaan umum bagi memantau perkembangan semasa senario pandemik di negara ini.

MERD, Google Mobility Trends dan COVID-19 Surveillance Dashboard boleh dicapai melalui https://www.dosm.gov.my/.

Berita Harian X