Selasa, 30 November 2021 | 1:10pm
Datuk Ahmad Nazlan Idris. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Datuk Ahmad Nazlan Idris. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

PUNB lulus pembiayaan usahawan RM3.5 bilion sejak ditubuhkan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) sudah meluluskan pembiayaan sebanyak RM3.5 bilion kepada seramai 11,564 usahawan membabitkan 8,086 syarikat sejak ia ditubuhkan pada Julai 1991 sehingga Oktober 2021, demikian kata Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris.

Beliau berkata, secara peribadi, pencapaian yang ditunjukkan itu adalah membanggakan, namun yakin ia mampu untuk pergi lebih jauh lagi.

Justeru, selaku Pengerusi PUNB yang baharu, selain meneruskan usaha mantan Pengerusi terdahulu dalam menambah jumlah dan meningkatkan kualiti usahawan Bumiputera, beliau juga komited untuk memperkenalkan lagi jenama PUNB ke seluruh pelusuk negara.

"PUNB bukan saja sebagai pemberi biaya tetapi juga sebagai pusat pembangunan keusahawanan yang mampu melahirkan usahawan terkemuka setanding dengan usahawan di peringkat antarabangsa," katanya pada Program 'Ikon Inspirasi Impian' anjuran PUNB secara maya.

Ahmad Nazlan berkata, PUNB juga telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam usaha meringankan bebanan yang perlu ditanggung

oleh usahawan dan Keluarga Malaysia secara amnya daripada impak penularan COVID-19.

Beliau berkata, di bawah payung #InisiatifPrihatinPUNB, PUNB memberi moratorium kepada Rakan Usahawan PUNB membabitkan jumlah kutipan sebanyak RM265 juta dan diskaun sewaan premis perniagaan milik PUNB kepada penyewa membabitkan kutipan sebanyak RM13.45 juta sejak 1 April 2020 sehingga 31 Disember 2021.

Katanya, PUNB turut memperkenalkan inisiatif 'Bumiputera Relief Financing' atau BRF bertujuan membantu usahawan dan perniagaan

Bumiputera yang terjejas kesan daripada penyusutan ekonomi akibat penularan pandemik COVID-19.

Jelasnya, inisiatif itu telah berjaya membantu seramai 729 usahawan dengan jumlah kelulusan pembiayaan sebanyak RM218.2 juta.

Ahmad Nazlan berkata, impak pandemik juga menyebabkan ada dalam kalangan rakyat yang kehilangan pekerjaan, justeru PUNB memperkenalkan Skim Pembiayaan Usahawan Terkesan COVID-19 atau SPUR dengan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membantu individu Bumiputera yang ingin atau telah menceburi bidang perniagaan.

Beliau berkata, sebanyak 73 usahawan telah menerima manfaat itu yang membabitkan jumlah pembiayaan keseluruhan sebanyak RM5.45 juta.

"Dalam usaha meringankan beban Keluarga Malaysia yang terjejas akibat pandemik, PUNB turut menyediakan Bank Makanan

Asas di semua Pejabat Wilayah PUNB di seluruh Malaysia. Inisiatif dengan slogan 'Sama-sama Kongsi, Sama-sama Rasa' ini telah

membantu seramai 4,749 ahli Keluarga Malaysia yang memerlukan bantuan.

"Di samping itu, PUNB turut menyumbang pek makanan dan minuman bagi membantu gelandangan di Pusat Transit Gelendangan

Kuala Lumpur," katanya, sambil menambah bahawa PUNB juga telah membantu warga pendidik sepanjang tempoh Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) melalui inisiatif 'Book & Pickup!', iaitu perkhidmatan cetakan secara percuma kepada warga pendidik.

Ahmad Nazlan berkata, sempena ulang tahun PUNB ke-30, pihaknya juga telah menganjurkan kempen Maju Bersama bertujuan membuktikan komitmen PUNB merealisasikan impian usahawan tempatan Bumiputera melakar nama sebagai usahawan yang cemerlang sebaris dengan usahawan terbilang di seluruh pelosok dunia.

Beliau berkata, tema Maju Bersama itu dipilih berdasarkan konsep 'Hero untuk Hero', yang mana PUNB berperanan sebagai acuan untuk membentuk komuniti usahawan Bumiputera yang akan bertindak sebagai barisan hadapan dalam memacu inovasi, mencipta peluang pekerjaan dan membantu meningkatkan pembangunan ekonomi dalam kalangan rakyat serta negara.

"Ikon Inspirasi Impian pada hari ini adalah program kemuncak kempen Maju Bersama, yang mana pemain industri jemputan akan berkongsi pengalaman dan perkembangan terbaharu corak aliran pasaran terkini serta maklumat tentang perubahan dalam

landskap ekonomi bagi mendepani cabaran perniagaan di kala negara beralih ke fasa endemik kelak.

"Saya yakin, input yang disampaikan dapat memberi manfaat dan inspirasi kepada usahawan untuk bangkit semula dan kembali

bersemangat bagi meneruskan perniagaan. Ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada inisiatif kerajaan dalam usaha

memulihkan ekonomi negara ekoran impak daripada pandemik COVID-19," katanya.

Program Ikon Inspirasi Impian itu menampilkan Rakan Usahawan PUNB yang berjaya dalam bidang perniagaan masing-masing iaitu Pengasas & Pengarah Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi yang berbicara mengenai Pemasaran: 'Mencapai Kejayaan- Pemikiran untuk Transformasi Perniagaan'; Pengarah Urusan Kacamuda Resources Sdn Bhd, Datuk Roslee Muhammad Robat yang menyampaikan ceramah bagi topik Pengurusan Kewangan - 'Tip Pengurusan Kewangan Pasca Pandemik' dan Pengarah Urusan Showood Sdn Bhd, Abdullah Marzuki Mohamed Shaarani yang berkongsi mengenai kepimpinan - 'Pengemudian Perniagaan Anda Mengharungi Pasca Pandemik'.

Berita Harian X