Jumaat, 26 November 2021 | 1:12pm
Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur. - NSTP/OSMAN ADNAN
Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur. - NSTP/OSMAN ADNAN

Bajet 2022 kurangkan kesan negatif ekonomi - DOSM

PUTRAJAYA: Pengumuman Bajet 2022 bercirikan pengembangan bagi tahun hadapan dengan dijangka dapat meminimumkan tekanan ekonomi dan memacu pertumbuhan ekonomi ke landasan yang betul, selain disokong program vaksinasi berterusan dan pembukaan semula perjalanan rentas negeri.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata meskipun prestasi ekonomi keseluruhan mencatatkan penyusutan pada suku ketiga, namun kebanyakan petunjuk ekonomi sudah mula menunjukkan peningkatan secara beransur-ansur terutamanya pada September 2021.

"Walaupun keluaran dalam negara kasar (KDNK) merekodkan penyusutan 4.5 peratus, peralihan berterusan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah mengurangkan impak terhadap penguncupan KDNK Malaysia yang dicerminkan menerusi penyusutan kecil 1.1 peratus yang direkodkan pada September 2021 berbanding Ogos 2021 (-4.7 peratus) dan Julai (-7.6 peratus).

"Dari segi penawaran, semua sektor menyusut pada suku ini, manakala dari segi permintaan, Perbelanjaan penggunaan akhir swasta dan Pembentukan modal tetap kasar mencatatkan penurunan, kecuali Perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan yang kekal positif pada suku ketiga 2021.

"Ekonomi Malaysia meningkat 3.0 peratus bagi tempoh sembilan bulan dari Januari hingga September 2021 berbanding negatif 6.4 peratus tahun yang lalu," katanya dalam laporan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 11/2021 hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, kelonggaran sekatan secara berperingkat dijangka akan menggalakkan pemulihan segmen ekonomi yang terjejas seperti pelancongan, kesenian & rekreasi serta pengangkutan.

"Berhubung perkara ini, Bajet 2022 yang diumumkan baru-baru ini dirangka ke arah komitmen untuk mencapai pemulihan penuh pada tahun 2022.

"Inisiatif strategik jangka pendek yang merangkumi langkah untuk memastikan bantuan berterusan sampai kepada kumpulan dan sektor yang terjejas akan meningkatkan pemulihan ekonomi negara.

"Melangkah ke hadapan, dijangkakan inisiatif ini ditambah dengan rancangan jangka sederhana yang lebih holistik iaitu Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dapat merangsang pengembangan ekonomi seterusnya," katanya.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, dari sudut perdagangan luar negeri, Imbangan Akaun Semasa (CAB) Malaysia pada suku ketiga 2021 merekodkan lebihan RM11.6 bilion, berikutan defisit yang lebih tinggi dalam akaun Pendapatan.

Akaun barangan mencatatkan lebihan lebih tinggi sebanyak RM41.2 bilion apabila eksport menyusut pada kadar yang lebih perlahan berbanding import.

Dari segi prestasi pelaburan, pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia terus mencatat aliran masuk RM12.8 bilion daripada RM8.2 bilion manakala pelaburan langsung Malaysia di luar negeri (DIA) berubah kepada aliran masuk bersih RM4.7 bilion berbanding aliran keluar bersih RM4.0 bilion pada suku sebelumnya.

Prestasi jumlah dagangan Malaysia pada suku ketiga meningkat 18.1 peratus kepada RM546.2 bilion berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

Mohd Uzir berkata, pertumbuhan kukuh itu disumbangkan oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi domestik dan permintaan luaran yang berterusan.

"Pada tempoh yang sama, import meningkat 21.0 peratus mengatasi pertumbuhan eksport sebanyak 15.8 peratus yang masing-masing mencatatkan RM242.5 bilion dan RM303.7 bilion," katanya.

Menurut DOSM, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) merekodkan penurunan 1.1 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga berikutan pertumbuhan negatif yang dicatatkan dalam semua komponen IPP iaitu Perlombongan (-2.2 peratus), Pembuatan (-0.7 peratus) dan Elektrik (-3.1 peratus).

Bagi September 2021, IPP memulih kepada 2.5 peratus tahun ke tahun, terutamanya didorong oleh peningkatan 4.0 peratus dalam indeks Pembuatan.

Sementara itu, nilai jualan sektor Pembuatan pada suku ketiga meningkat 6.4 peratus tahun ke tahun kepada RM381.8 bilion dan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih baik iaitu 11.6 peratus pada September 2021.

Hasil sektor Perkhidmatan pula bagaimanapun merosot 8.7 peratus tahun ke tahun kepada RM391.0 bilion pada suku ketiga tahun 2021 dipengaruhi oleh permintaan yang lebih perlahan berikutan kebanyakan negeri masih dalam Fasa 1 atau Fasa 2 PPN pada hampir keseluruhan suku tahun dikaji.

Berita Harian X