Khamis, 25 November 2021 | 3:42pm
(Gambar fail) Tambak Johor. - NSTP/ZAIN AHMED
(Gambar fail) Tambak Johor. - NSTP/ZAIN AHMED

Pembukaan sempadan antarabangsa rangsang pelancongan

KUALA LUMPUR: Pembukaan semula sempadan antarabangsa negara dijangka memberi impak positif kepada pemulihan ekonomi dengan manfaatnya dapat dilihat secara ketara membabitkan sektor berkaitan pelancongan, yang terkesan teruk oleh penutupan sempadan antarabangsa, demikian kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pembukaan sempadan antarabangsa sememangnya perkara yang ditunggu-tunggu kerana ia bakal memberi impak secara langsung kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, dengan pembukaan semula sempadan negara itu membolehkan sektor pelancongan bakal mencapai tahap pengoperasian yang lebih tinggi.

Katanya, keadaan itu akan memberi kesan positif kepada sektor yang berkaitan seperti perhotelan, peruncitan, pengangkutan, makanan dan minuman, hiburan dan pelbagai lagi.

"Justeru, ia boleh merancakkan ekonomi negara dan boleh merealisasikan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun depan.

"Namun, risiko penurunan masih jelas kelihatan apabila nisbah jangkitan atau 'R-Naught' serta angka kes baharu COVID-19 masih lagi meningkat. Oleh itu, proses pembukaan semula sempadan perlu dilaksanakan dengan berhati-hati," katanya kepada BH bagi mengulas mengenai langkah pembukaan sempadan negara .

Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng, berkata pembukaan semula sempadan antara Malaysia dan Singapura menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) bermula 29 November ini adalah satu perkembangan positif yang amat dialu-alukan oleh ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Beliau berkata, usaha itu juga akan memudahkan pemulihan ekonomi secara ketara antara Malaysia dan Singapura.

Malah, katanya, usaha itu juga membolehkan aktiviti rentas sempadan antara negara menjadi normal dengan pelaburan dan pelancongan yang besar.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata pembukaan semula sempadan negara akan memberi kesan langsung kepada pasaran hartanah dengan kemasukan pelabur asing dan penduduk tetap asing ke Malaysia.

Beliau berkata, pembukaan semula sempadan menandakan pemulihan secara keseluruhan kepada situasi normal, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan pekerjaan.

"Kami mengunjurkan pasaran kediaman mencatatkan pengukuhan, kesan daripada pemulihan yang berlaku dalam ekonomi meluas. Jumlah transaksi akan meningkat terlebih dulu dan kemudian mendorong peningkatan harga dari semasa ke semasa," katanya.

Mengenai prospek ekonomi, Kashif berkata, kadar pantas vaksinasi dan rawatan baharu COVID-19 mendorong penambahbaikan prospek, yang dijangka membawa kepada lonjakan dalam perbelanjaan isi rumah dan keinginan untuk berbelanja pada 2022.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan ekonomi Malaysia melonjak semula pada 2022, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi global.

"Kerajaan sedang melaksanakan rangsangan ekonomi dan fiskal, justeru, Juwai IQI menjangkakan pertumbuhan KDNK mencecah 6.0 peratus tahun depan," katanya.

Berita Harian X