Rabu, 24 November 2021 | 1:16pm

COVID-19 tingkatkan jurang ketidaksamaan taraf hidup - KWSP

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 yang melanda negara memburukkan jurang ketidaksamaan peluang dan sumber dalam masyarakat khususnya dari segi taraf hidup termasuk pekerjaan, kesihatan dan pendidikan berkualiti.

Justeru itu, terdapat keperluan mendesak untuk meneliti semula kontrak sosial di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata ekonomi pasca COVID-19 memerlukan rundingan semula kontrak sosial supaya semua pihak dapat bekerjasama ke arah menggalakkan hak rakyat, pekerjaan dengan struktur gaji bermaruah dan meningkatkan keterangkuman menerusi dialog sosial dan perundingan kolektif.

Beliau berkata, di tengah-tengah kontrak sosial yang kukuh, terletaknya kepercayaan yang utuh, peningkatan pelaburan dalam peruntukan kualiti, komitmen terhadap mandat awam dan yang paling penting, kerja yang baik untuk semua.

"Ekonomi pasca COVID-19 memerlukan kita mengambil pandangan baharu ke arah merundingkan semula kontrak sosial kita. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak perbincangan, menggunakan mekanisme tiga pihak yang membabitkan kerajaan, perniagaan dan orang ramai untuk mewujudkan ekonomi, masyarakat dan dunia yang lebih baik," katanya pada hari kedua Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC 2021) hari ini.

Persidangan yang diadakan pada 23 hingga 24 November 2021 dengan tema 'The New Narrative: Turning the Tide on Inequality' itu dianjurkan bersama oleh KWSP, Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Pejabat Perdana Menteri dan International Social Security Association (ISSA).

Amir Hamzah berkata, pandemik COVID-19 telah membawa ketidaksamaan menjadi tumpuan dan kebimbangan yang lebih mendalam, yang mana nilai pekerjaan, kesihatan yang baik, pendidikan berkualiti dan taraf hidup yang bermakna, kini dibawa kepada lembaran baharu.

Beliau berkata, kesan ketidaksamaan telah menjadi isu mencabar yang menghalang pembangunan masyarakat di seluruh dunia, malah dengan pandemik, keadaan ketidaksamaan sedia ada telah bertambah, membawa kepada lebih banyak lagi keadaan sosial dan ekonomi yang tidak menggalakkan.

Justeru, katanya, penyelesaian yang lebih jauh ke arah mencapai kesejahteraan sosial adalah perlu termasuk perbincangan lanjut mengenai dasar perlindungan sosial yang bertujuan menangani kekurangan dan menggalakkan akses untuk semua bagi mencapai kualiti hidup yang lebih baik.

"Berikutan ketidaksamaan timbul daripada kekurangan peluang dan sumber bagi mereka yang amat memerlukannya, kita perlu melihat ke dalam usaha penyatuan merentas semua pihak berkepentingan, daripada pihak awam atau swasta. Memahami dan meneroka dinamik kerjasama awam-swasta untuk memacu pertumbuhan ekonomi adalah strategi utama untuk kita teroka," katanya.

Di KWSP, Amir Hamzah berkata, pengurus dana persaraan itu telah memulakan program dialog dan perkongsian dengan Grab, syarikat pengangkutan dan penghantaran makanan, untuk memberi insentif kepada komuniti pemandu Grab dan rakan kongsi penghantaran untuk membina simpanan persaraan mereka melalui program i-Saraan KWSP.

Beliau berkata, kerjasama itu telah berjaya menarik lebih ramai pemandu e-hailing untuk menyimpan bagi persaraan mereka, dan setakat ini, 10,000 rakan kongsi telah mendaftar untuk program berkenaan.

"KWSP percaya bahawa menggerakkan sumber dan usaha bersama-sama adalah sangat penting untuk mengatasi masalah negara yang mendesak," katanya.

Amir Hamzah berkata, perlindungan sosial mempunyai peranan penting dalam menangani ketidaksamaan dan membina masyarakat inklusif.

Beliau berkata, banyak negara telah mempercepatkan usaha mereka dalam memanfaatkan alat perlindungan sosial sebagai tindak balas kepada pandemik.

"Kita perlukan strategi yang berani untuk keadilan sosial dan kerja yang baik serta mewujudkan masa depan yang mampan dan berdaya tahan bagi anak-anak kita," katanya.

Berita Harian X