Selasa, 23 November 2021 | 9:25pm

Sasaran hasil cukai RM139.3 bilion tahun depan realistik - LHDN

KUALA LUMPUR: Unjuran hasil daripada cukai langsung kira-kira RM139.3 bilion menjelang 2022 adalah realistik dan boleh dicapai, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Mohd Nizom Sairi.

Katanya, anggaran hasil itu diunjurkan daripada kutipan kasar cukai langsung secara keseluruhan termasuk cukai korporat, petroleum, individu dan lain-lain, sebelum tuntutan bayaran balik.

"Sasaran ini adalah seiring dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.9 peratus seperti yang diumumkan oleh kerajaan," katanya pada siri webinar TaxMax ke-47 yang bertemakan 'Membina ketahanan untuk esok' anjuran Akademi Cukai Deloitte.

Mohd Nizom berkata, unjuran hasil daripada cukai pendapatan korporat bagi 2022 adalah lebih sedikit daripada kutipan pada 2019, iaitu sebelum pandemik COVID-19 bermula.

"Daripada segi unjuran hasil yang boleh dijangkakan kerajaan daripada ekonomi tahun depan, kami melihat beberapa faktor, sebahagian datang daripada data sejarah yang telah kami kumpulkan sejak beberapa tahun lepas dan juga berdasarkan kepada prospek," katanya.

Sementara itu, Mohd Nizom berkata, nisbah cukai langsung kepada KDNK Malaysia berada pada aliran menurun sejak 2019, pada 9.5 peratus iaitu 1.7 mata lebih rendah daripada purata Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

"Ia mencatatkan trend penurunan sejak 2020, yang berada pada 8.4 peratus dan dianggarkan nisbah itu akan berada pada 7.9 peratus untuk 2022," katanya.

Ketika mengulas mengenai nisbah cukai tidak langsung kepada KDNK, beliau menjelaskan, Malaysia hanya berada pada 3.2 peratus dan jauh di bawah purata OECD sebanyak 10.9 peratus.

"Berdasarkan statistik ini, kami dapat menyimpulkan bahawa struktur cukai negara sangat bergantung kepada cukai langsung berbanding cukai tidak langsung.

"Kadar cukai langsung dan tidak langsung berdasarkan purata OECD adalah kira-kira 50-50 peratus. Tetapi dalam kes kami, ia adalah lebih kurang nisbah 75-25 peratus antara cukai langsung dan tidak langsung," katanya.

Melihat kepada trend ini, Mohd Nizom berpendapat bahawa sistem percukaian Malaysia perlu bergerak ke arah trend semasa untuk meluaskan asas cukainya bagi membabitkan lebih ramai penduduk seperti pengenalan cukai penggunaan.

"Orang akan berhujah daripada perspektif yang saksama, sama ada ia adil untuk mengenakan cukai ke atas pendapatan yang berbeza, jadi kami perlu mencari keseimbangan tetapi tidak boleh dinafikan bahawa hakikatnya, negara sedang menuju ke arah itu.

"Ia bukan sahaja akan meluaskan cukai bersih tetapi kami juga boleh bersetuju bahawa ia adalah cara yang lebih cekap untuk mengutip cukai dengan ruang yang lebih rendah bagi kebocoran," katanya.

-- BERNAMA

Berita Harian X