Isnin, 22 November 2021 | 4:38pm
Penasihat Kanan Pembangunan Perniagaan Asia School of Business (ASB), Dr Elsa Satkunasingam.
Penasihat Kanan Pembangunan Perniagaan Asia School of Business (ASB), Dr Elsa Satkunasingam.

MSD 2021: Tadbir urus korporat tanggungjawab semua

KUALA LUMPUR: Tadbir urus korporat yang baik adalah tanggungjawab semua pemegang taruh bagi memastikan kelangsungan dan memacu perniagaan lebih berdaya maju.

Penasihat Kanan Pembangunan Perniagaan Asia School of Business (ASB), Dr Elsa Satkunasingam, berkata tadbir urus korporat yang merangkumi semua pihak termasuk syarikat, pemegang saham, pelanggan, pembekal, pengawal selia dan pemberi pinjaman menjadi aspek penting bagi membolehkan pengoperasian sesebuah syarikat bukan sekadar berpaksikan keuntungan semata-mata.

"Tadbir urus korporat yang baik perlu membabitkan semua pihak dan mengikut kepatuhan yang ditetapkan. Sebagai contoh, syarikat tidak boleh menjana keuntungan dengan mengetepikan kelestarian alam sekitar atau keperluan rakyat serta pekerja.

"Syarikat berkaitan juga tidak boleh berkompromi dengan kesihatan pekerja dan rakyat dalam meraih keuntungan," katanya ketika menyampaikan pembentangan mengenai tadbir urus korporat dalam slot ASB Masterclass sempena Minggu Saham Digital (MSD) 2021 hari ini.

Elsa berkata, jika tadbir urus korporat tidak dilaksanakan dengan baik semata-mata untuk mendapatkan keuntungan besar, ia bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah memberi kesan kepada orang ramai.

"Semua perlu pertimbang apa yang perlu dilakukan untuk memastikan semua ekosistem perniagaan termasuk pemegang taruh lain kekal selamat dan memastikan alam sekitar bebas dari pencemaran.

"Dalam pelbagai perniagaan ia bukan sekadar meraih keuntungan, tetapi perlu mengambil kira keadaan sekeliling supaya semua mendapat manfaat," katanya.

Beliau menjelaskan, akauntabiliti juga menjadi aspek penting bagi menyokong agenda hijau kerajaan, selain syarikat korporat perlu melabur dalam porfolio Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Kita perlu menjauhi perkara yang negatif untuk meraih keuntungan termasuk berhati-hati dalam manipulasi di media sosial," katanya.

Berita Harian X