Isnin, 22 November 2021 | 4:30pm
Datuk Seri Mustapa Mohamed. - NSTP/ROHANIS SHUKRI.
Datuk Seri Mustapa Mohamed. - NSTP/ROHANIS SHUKRI.

Dasar Tenaga Negara bakal dilancar tidak lama lagi

KUALA LUMPUR: Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dalam peringkat akhir merangka Dasar Tenaga Negara 2021-2040 (NEP) yang berperanan sebagai agenda perancangan serta pembangunan sektor tenaga dalam usaha peralihan kepada masa depan berkarbon rendah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata NEP yang dirangka dengan kerjasama beberapa kementerian itu akan menjadi langkah jangka masa panjang dan komprehensif sektor tenaga Malaysia.

Beliau berkata, NEP akan menyumbang ke arah mencapai keselamatan tenaga jangka masa panjang dengan penetapan harga yang kompetitif.

Pada masa yang sama katanya, ia akan memastikan Malaysia kekal melaksanakan persekitaran lestari.

"NEP sangat penting kerana pelabur semakin menuntut penyelesaian dan amalan yang sejajar dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

"Dasar ini juga akan diselaraskan dengan Perjanjian Paris, apabila Malaysia bersetuju secara sukarela mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar

(KDNK) menjelang 2030.

"Malaysia juga komited untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050," katanya.

Beliau berkata ketika melancarkan Malaysian Gas Symposium (MyGAS 2021) secara maya hari ini.

Mustapa berkata, semua pihak harus mempertimbangkan melaksanakan komitmen dan meningkatkan

usaha dalam menerima pakai prinsip ESG.

Beliau berkata, gas asli, digabungkan dengan karbon rendah lain dan gas boleh diperbaharui seperti

hidrogen dan biogas, dijangka memainkan peranan penting dalam NEP dan strategi mencapai neutral karbon.

Negara katanya sangat memerlukan industri gas asli yang bertenaga dan mampan.

"Bagi mencapai perkara ini, EPU juga sedang membangunkan Pelan Hala Tuju Gas Asli atau

NGR, yang akan menjadi komponen utama NEP.

"Gas asli memainkan peranan penting kepada kestabilan negara terutamanya ketika pandemik COVID-19 yang lalu.

"Kepentingan gas asli sebagai bahan api teras dalam memastikan keselamatan tenaga di Malaysia menjadi lebih penting semasa permulaan pandemik COVID-19 pada awal 2020 apabila langkah penutupan di seluruh dunia mengganggu penghantaran komoditi tenaga," katanya.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, Malaysia juga bernasib baik kerana negara dapat bergantung kepada gas asli tempatan bagi menjana sektor penjanaan kuasa.

Beliau berkata, ini sekaligus dapat memastikan bekalan elektrik kekal tidak terganggu dan operasi sektor kritikal kekal beroperasi tanpa halangan.

Gas asli katanya telah menjadi sumber tenaga yang penting bagi negara serta menyumbang ke arah pembangunan dari segi pekerjaan, pertumbuhan, pembuatan dan eksport.

"Ketika ini gas asli menyumbang lebih 41 peratus daripada bekalan tenaga utama negara menjadikannya sebagai sumber terbesar dalam campuran tenaga.

"Di peringkat global, gas asli, sebagai salah satu bahan api fosil terbersih, akan terus memainkan peranan penting sebagai sumber tenaga peralihan ke arah mencapai karbon rendah," katanya.

Berita Harian X