Ahad, 21 November 2021 | 4:59pm
(Gambar fail) GrabCar Malaysia di Jalan Telawi, Bangsar. - NSTP/GHAZALI KORI
(Gambar fail) GrabCar Malaysia di Jalan Telawi, Bangsar. - NSTP/GHAZALI KORI

MSD2021: Empat juta sertai ekonomi gig sejak pandemik

KUALA LUMPUR: Kira-kira empat juta individu telah menyertai ekonomi gig di Malaysia berbanding hanya 500,000 sebelum berlakunya pandemik COVID-19.

Pengurus Hal Ehwal Awam Grab, Nur Ain Razali, berkata Grab yang adalah aplikasi mudah alih utama di rantau Asia Tenggara adalah salah satu penyumbang besar kepada perkembangan ekonomi gig dengan membuka peluang kepada individu untuk menjana pendapatan secara fleksibel, produktif dan mampan.

Katanya, ini termasuklah dalam servis pengangkutan, penghantaran seperti makanan dan barangan keperluan asas serta penawaran produk kewangan.

"Di Grab kami komited untuk menggalakkan pembabitan tenaga kerja daripada pelbagai latar belakang dalam sektor ekonomi digital dan ekonomi gig dalam programnya untuk semua.

"Grab menumpukan usaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi mereka yang mempunyai kekangan dalam mencari sumber pendapatan sama ada pendapatan alternatif atau tambahan seperti golongan pesara, ibu atau bapa tunggal dan orang kelainan upaya.

"Dengan ada nya keterbukaan peluang pekerjaan melalui platform gig seperti Grab, kekangan semasa seperti masa dan lokasi atau kelainan upaya seseroang individu bukanlah halangan untuk mencari rezeki," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bijak Finance dibawakan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) bersempena dengan Minggu Saham Digital (MSD) 2021 yang disiarkan secara maya bermula dari 17 November hingga 23 November ini.

Malahan katanya, pekerja gig dapat mengurus bagaimana dan bila untuk menjana pendapatan mengikut kesesuaian dan keperluan masing-masing.

"Setakat ini, Grab mempunyai lebih 800 rakan penghantar, rakan pemandu dan rakan peniaga yang kelainan upaya di Malaysia.

"Kelebihan fleksibiliti pekerjaan gig membenarkan pekerja gig merancang dan menguruskan kewangan dengan lebih baik mengikut keperluan gaya hidup mereka," katanya.

Tambahnya, bila berbincang mengenai isu-isu berkenaan pekerjaan gig, haruslah mengambil kira pelbagai keperluan individu, situasi atau keadaan mereka dan motivasi pekerja gig.

"Ini bukan sahaja amat penting, tetapi adalah asas utama untuk membantu pekerja gig menguruskan hal kewangan mereka.

"Di Grab, kami mendukung prinsip-prinsip yang kami percaya dapat membantu merealisasikan visi bagi perkembangan gig yang mampan dan bermanfaat," katanya.

Berita Harian X