Isnin, 15 Februari 2021 | 2:41pm
Lakaran artis menara Merdeka 118 - Foto ihsan PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMVSB)
Lakaran artis menara Merdeka 118 - Foto ihsan PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMVSB)

edotco sedia khidmat telekomunikasi di Merdeka 118

KUALA LUMPUR: PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) melantik edotco Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan rangkaian telekomunikasi bagi menara Merdeka 118.

Kerja pemasangan rangkaian selular dalam bangunan (IBS) akan dilengkapkan mengikut jadual perasmian pembukaan menara mercu tanda itu pada 2022 adalah selari dengan keperluan infrastruktur teknologi canggih bangunan ikonik itu.

Menerusi pelantikan itu, edotco Malaysia akan merancang, menyedia serta menyelenggara penyelesaian rangkaian IBS bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan rangkaian telefon selular yang terbaik dan lancar tanpa gangguan di dalam menara berkenaan.

PMVSB berkata, penggunaan teknologi IBS generasi seterusnya memastikan liputan lebih menyeluruh dan merangkumi kawasan terlindung serta meluaskan kawasan liputan di tempat-tempat terlindung seperti di dalam lif dan ruang bawah tanah serta parkir kereta untuk mewujudkan pengalaman pengguna terbaik.

"Jangkauan pemasangan peralatan IBS akan membabitkan semua kawasan terbuka serta premis di dalam bangunan. Ini bagi memenuhi permintaan kapasiti dan memberikan liputan yang menyeluruh di setiap tingkat menara sebagai persiapan untuk penyambungan hiper masa depan.

"Ketersediaan infrastruktur telekomunikasi inovatif membolehkan pengendali rangkaian selular (MNO) menawarkan liputan berkelajuan tinggi dengan pelaburan minimum model 'plug-and-play'.

"Ia turut membolehkan teknologi infrastruktur telekomunikasi yang lebih baharu ditambah secara modular pada masa depan untuk memenuhi permintaan pengguna telefon selular dan peningkatan kapasiti di dalam bangunan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Pelaburan Hartanah PNB, Rick Ramli, berkata usaha itu menandakan perkembangan penting dari segi pembangunan menara Merdeka 118 yang semakin hampir siap.

"Buat masa ini, pembinaan telah 70 peratus siap. Kami menantikan fasa seterusnya untuk menara Merdeka 118 dengan pemasangan teknologi infrastruktur telekomunikasi generasi akan datang bagi menyokong keperluan komunikasi masa depan.

"Kami yakin, berdasarkan rekod prestasi, kepakaran teknikal dan penyelesaian inovatif, edotco dapat memenuhi keperluan dinamik penghuni perniagaan dan rekreasi di menara Merdeka 118," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Serantau edotco Group dan Pengarah Urusan edotco Malaysia, Wan Zainal Adileen berkata, menara Merdeka 118 adalah antara pencapaian kejuruteraan yang dikagumi dan peluang diberikan PMVSB membuktikan kemampuan dan kepakaran syarikat untuk menyediakan telekomunikasi inovatif.

"Menara Merdeka 118 melambangkan kemajuan yang melangkaui generasi sekarang dan projek ini sejajar dengan komitmen edotco untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

"Pembabitan dalam projek mercu tanda ini menjadi tonggak monumental bagi edotco dalam menyokong Malaysia memenuhi aspirasi digital.

"edotco menyahut cabaran dalam menyediakan penyelesaian infrastruktur telekomunikasi yang sesuai dan tepat dan boleh dikongsi yang selangkah lebih maju daripada pesaing kami," katanya.

Perkhidmatan edotco akan merangkumi infrastruktur telekomunikasi untuk pejabat, menara hotel dan pusat membeli-belah di menara Merdeka 118.

Pembangunan seluas tiga juta kaki persegi itu menjadikannya sebuah pencakar langit setinggi 635 meter.

Sebaik siap, menara Merdeka 118 akan menjadi bangunan tertinggi di Asia Tenggara.

Berita Harian X