Selasa, 19 Januari 2021 | 3:35pm
Pakej PERMAI secara umumnya dijangka ‘neutral’ untuk pendapatan korporat - Foto BERNAMA
Pakej PERMAI secara umumnya dijangka ‘neutral’ untuk pendapatan korporat - Foto BERNAMA

Kerajaan ada ruang mencukupi laksana PERMAI

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempunyai ruang mencukupi untuk bertindak dalam ruang lingkup Belanjawan 2021 dan defisit 5.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi menampung perbelanjaan tambahan, demikian menurut CGS-CIMB.

Malah, ia berpandangan pengumuman Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dijangka mempunyai impak minimum terhadap kedudukan fiskal.

Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng, berkata walaupun kerajaan tidak memberikan jumlah suntikan fiskal langsung daripada pakej rangsangan PERMAI, pihaknya menjangkakan gabungan perbelanjaan tambahan kerajaan tidak akan lebih tinggi daripada RM2 bilion atau 0.1 peratus daripada KDNK.

Beliau berkata, tambahan pula, jika harga minyak semasa global berterusan pada AS$56 setong berbanding anggaran Belanjawan 2021 sekitar AS$42 setong, kerajaan dijangka mendapat pendapatan tambahan berkaitan minyak kira-kira RM4 bilion.

"Justeru, kami tidak jangka PERMAI akan menimbulkan kebimbangan mengenai kedudukan fiskal kerajaan.

"Kami percaya ruang lingkup untuk pengembangan fiskal ketara mungkin dibatasi oleh had hutang kerajaan dan kebimbangan terhadap tindakan penarafan hutang susulan penurunan penarafan oleh Fitch pada Disember," katanya dalam nota penyelidikannya.

Ng berkata, berdasarkan kepada penilaian awal, pakej rangsangan itu secara umumnya 'neutral' untuk pendapatan korporat.

Beliau berkata, pihaknya melihat kesan yang tidak berubah kepada sektor pengguna kerana pengguna akan kekal berhati-hati dalam tingkah laku perbelanjaan mereka walaupun pelaksanaan Program Subsidi Upah 3.0 dan bantuan kewangan daripada kerajaan.

Sementara itu, katanya, sektor REIT mungkin tidak mendapat keuntungan langsung daripada pengurangan cukai khas terhadap pengurangan sewa yang ditawarkan kepada premis perniagaan kerana ia kini menikmati pengecualian cukai bagi pembayaran sekurang-kurangnya 90 peratus daripada keuntungannya sebagai dividen.

"Walau bagaimanapun, ia boleh mendapat manfaat daripada diskaun khas sebanyak 10 peratus daripada bil elektrik selama tiga bulan," jelasnya.

Bagi sektor telekomunikasi, Ng berkata, CGS-CIMB tidak menjangkakan impak ketara daripada pakej data khas 15GB kerana pihaknya menjangkakan hanya kira-kira dua hingga 2.5 juta pelajar layak untuk itu, ia sah hanya empat bulan dan boleh terhad oleh penggunaan data yang tinggi.

Beliau berkata, diskaun 10 peratus yang ditawarkan bagi bil elektrik bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 terhadap enam sektor akan dibiayai oleh Kumpulan Wang Industri (KWIE) dan tidak memberi kesan kepada pendapatan Tenaga Nasional Bhd.

"Bagaimanapun, pendedahan bahawa hospital swasta telah bersetuju untuk menerima dan merawat pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19 boleh menjadi negatif bagi peserta hospital (IHH dan KPJ).

"Kami mengekalkan sasaran Indeks FBM KLCI pada paras 1,759 mata," katanya.

Berita Harian X