Selasa, 19 Januari 2021 | 3:09pm
Kerajaan akan memastikan semua inisiatif yang diumumkan di bawah PERMAI akan dilaksanakan dengan cepat dan berkesan - Foto BERNAMA
Kerajaan akan memastikan semua inisiatif yang diumumkan di bawah PERMAI akan dilaksanakan dengan cepat dan berkesan - Foto BERNAMA

PERMAI tak jejas perbelanjaan, fiskal kerajaan

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion dilihat tidak akan memberi tekanan kepada keseimbangan perbelanjaan dan fiskal negara, demikian menurut TA Securities.

Ketua Penyelidiknya, Kaladher Govindan, berkata ia berikutan kerajaan membiayai pakej bantuan PERMAI menerusi peruntukan semula dana sedia ada berdasarkan keutamaan semasa dan menerusi perbelanjaan yang lebih berhemah.

Beliau berkata, kerajaan akan memastikan semua inisiatif yang diumumkan dilaksanakan dengan cepat dan berkesan, sekali gus tidak akan mengubah jangkaan defisit fiskal kerajaan sebanyak 5.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini dan hutang nasional pada 61 peratus daripada KDNK.

Katanya, dengan PERMAI iaitu pakej rangsangan kelima diumumkan oleh kerajaan semasa, jumlah terkumpul rangsangan kini bernilai RM320 bilion atau bersamaan 20.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Dengan andaian, ia ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, ia kini membabitkan suntikan fiskal RM70 bilion. Empat pakej rangsangan terakhir menyaksikan suntikan kerajaan sebanyak RM55 bilion.

"Kami masih mengekalkan unjuran defisit kami pada -5.5 peratus daripada KDNK," katanya dalam nota penyelidikannya.

TA Securities mengalu-alukan rangsangan tambahan yang diumumkan kerajaan itu dan berharap ia akan merangsang lebih banyak aktiviti ekonomi dan melonjakkan sentimen menuju ke depan.

Bagaimanapun, pihaknya meragui peningkatan semula ekonomi yang kukuh pada suku pertama 2021 memandangkan risiko menurun kekal jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa menjadi lebih panjang daripada dijangkakan atau jadual vaksin tangguh daripada dirancangkan.

"Masih terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa PKP 2.0 ini akan memberikan kerugian ketara terhadap ekonomi berikutan pelaksanaan semula langkah yang ketat dilihat lebih fleksibel berbanding PKP tahun lalu.

"Semua mata tertumpu kepada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pertama Bank Negara Malaysia yang dijadualkan pada 20 Januari 2021.

"Kem terbahagi kepada dua ketika ini dengan peningkatan kemungkinan terhadap penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke paras 1.50 peratus, paras terendah dalam sejarah," katanya.

Berita Harian X