Isnin, 18 Januari 2021 | 2:29pm
Pelaksanaan langkah sekatan dan kawalan pergerakan terkini akan mengekang pertumbuhan ekonomi
Pelaksanaan langkah sekatan dan kawalan pergerakan terkini akan mengekang pertumbuhan ekonomi

OCBC unjur ekonomi Malaysia berkembang 5.7 peratus 2021

KUALA LUMPUR: OCBC Bank menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang 5.7 peratus bagi 2021, lebih rendah berbanding unjurannya sebelum ini sebanyak 6.0 peratus berikutan impak pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri.

Ketua Ahli Ekonominya, Selena Ling, berkata bagi Malaysia, pelaksanaan semula PKP, diikuti oleh pengisytiharan darurat memberi cabaran kepada pemulihan yang dicatatkan ekonomi baru-baru ini.

Beliau berkata, pelaksanaan langkah sekatan dan kawalan pergerakan terkini itu akan mengekang pertumbuhan terutama pada suku pertama 2021 selepas mencatatkan aliran meningkat mengejutkan pada suku ketiga 2020 dan momentum yang mencabar pada suku keempat 2020.

Katanya, walaupun eksport terus menunjukkan tanda-tanda mendapat manfaat daripada pemulihan permintaan barangan elektronik, segmen domestik cenderung untuk terus terkesan dan berpotensi menjadi lebih terkesan buat masa ini.

"Secara keseluruhan, kami melihat risiko penurunan terhadap unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021. Sebelumnya adalah pada kadar 6.0 peratus, ia lebih rendah berbanding julat 6.5 peratus-7.5 peratus yang disasarkan oleh kerajaan dan konsensus terkini, 6.8 peratus.

"Walau bagaimanapun, kemuncak peristiwa baru-baru ini dan kemungkinan ketara bahawa PKP dilanjutkan melangkaui tempoh yang ditetapkan selama dua minggu cenderung untuk memberi tekanan kepada pertumbuhan suku pertama.

"Sememangnya, kami melihat risiko bahawa ekonomi akan menyusut secara sukuan dan tahunan pada suku pertama dengan masing-masing -0.6 peratus dan -0.1 peratus. Bagi keseluruhan tahun ini, kadar pertumbuhan kini cenderung kepada 5.7 peratus," katanya dalam satu kenyataan.

Ling berkata, prospek pertumbuhan yang lebih perlahan akan memberi beberapa cabaran kepada pihak berkuasa dari segi langkah pemulihan.

Beliau berkata, walaupun pihaknya menyokong sokongan daripada Belanjawan 2021, terutama dari segi perbelanjaan pembangunan, OCBC Bank telah mengingatkan andaian pendapatan cukai yang sangat optimis yang disasarkan daripada hasil pertumbuhan yang kukuh.

Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), Ling berkata, OCBC Bank menjangkakan terdapat peluang yang besar Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengurangkan kadar kepada 1.5 peratus dalam mesyuarat monetari pada 20 Januari ini.

Beliau berkata, bergantung kepada bagaimana langkah membendung pandemik dalam minggu mendatang, pihaknya menjangkakan lagi satu pengurangan kadar kepada 1.25 peratus pada mesyuarat Mac nanti.

"Secara keseluruhan, kami kekal membina dengan prospek ekonomi Malaysia dan akhirnya pemulihan pada sebahagian kemudian 2021 terutama sejak sektor perkilangan berada dalam kedudukan yang baik untuk mengambil bahagian dalam pemulihan elektronik global," katanya.

Berita Harian X