Rabu, 13 Januari 2021 | 1:55pm
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini - Foto BERNAMA
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini - Foto BERNAMA

Kerajaan dijangka umum pakej rangsangan tambahan

KUALA LUMPUR: Kerajaan berkemungkinan besar akan mengumumkan rangsangan fiskal tambahan bagi mengurangkan impak negatif disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini.

Menurut Affin Hwang Capital dalam nota kajiannya, sebarang peningkatan dalam paras siling hutang kerajaan dilihat masih terkawal dan mampu diuruskan.

"Dengan potensi perbelanjaan yang lebih tinggi, berdasarkan jangkkan kami, jika perlu, sasaran fiskal defisit Malaysia pada 2021 berkemungkinan meningkat sebanyak 0.6 mata peratusan lagi kepada 6.0 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021.

"Ia dibandingkan dengan unjuran awal kami iaitu -5.4 peratus daripada KDNK 2021 (-6.0 peratus daripada KDNK 2020)," katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK untuk tahun ini iaitu 6.0 peratus berbanding jangkaan -5.0 peratus pada tahun lalu.

Katanya, lebihan akaun semasa dijangkakan untuk mengecil sedikit kepada 3.4 peratus daripada KDNK pada 2021 daripada lebihan 3.6 peratus daripada KDNK pada tahun lalu.

"Kami percaya Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan dasar monetari yang akomodatif, memastikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah pada 1.75 peratus sepanjang tahun 2021.

"Berdasarkan janggkan kami, PKP semasa selama dua minggu ini boleh mengakibatkan kerugian dalam ekonomi kira-kira RM800 juta - RM1 bilion sehari, berbanding kerugian RM2 bilion sehari sewaktu PKP tahun lalu.

"Akibatnya, kami percaya pertumbuhan KDNK sebenar negara berkemungkinan akan diseret turun antara 0.8 mata peratusan dalam tempoh PKP ini," katanya.

Pihaknya akan menilai semula unjuran berkenaan di mana kemungkinan ia akan disemak semula tertakluk kepada tempoh PKP semasa dan juga tindak balas rangsangan fiskal oleh kerajaan memandangkan ketidakpastian mengenai kenaikan semula kes COVID-19 dalam negara.

Berita Harian X