Khamis, 3 Disember 2020 | 9:51am
Ekonomi APEC perlu menambah baik infra struktur supaya e-perniagaan dinikmati lebih ramai usahawan - FOTO APEC
Ekonomi APEC perlu menambah baik infra struktur supaya e-perniagaan dinikmati lebih ramai usahawan - FOTO APEC

Teknologi digital, wanita topik hangat di Dialog CEO APEC

KUALA LUMPUR: Dua hari sebelum Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bermula pada 20 November 2020, komuniti usahawan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pemimpin pemikir dari ekonomi anggota bertemu di alam maya, membincangkan bagaimana untuk meneruskan kehidupan di celah-celah kemelut COVID-19.

Diselang seli dengan ucapan dan temu bual beberapa pemimpin ekonomi APEC, perbincangan yang dijalankan selama 25 jam mencipta rekod kerana inilah kali pertama Dialog CEO APEC  diadakan secara dalam talian dan norma baharu dan ini akan diteruskan di New Zealand tahun hadapan.

Bertemakan APEC Re-Imagined: Priorities In The Aftermath of COVID-19, ini adalah masa yang paling tepat untuk memikirkan cara terbaik meneruskan kehidupan pada tahun-tahun akan datang.

Image

Isu hangat dibincangkan dialog adalah kemunculan ekonomi dan teknologi digital, peranan wanita dan golongan muda yang menjadi tulang belakang ekonomi dan bagaimana untuk mempersiapkan mereka menghadapi perubahan.

Kisah seorang penjual bunga di Kuala Lumpur yang dibangkitkan oleh Ketua Pegawai Operasi Facebook, Sheryl Sandberg menarik perhatian hadirin kerana ia mewakili senario yang berlaku di seluruh dunia sekarang.

Kisah benar penjual bunga wanita ini di antara ribuan peniaga yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan bagi membendung tularan COVID-19.

Wanita itu bagaimanapun tidak berputus asa dan mencebur diri di dalam e-perniagaan dan kini hasil jualannya melebihi keuntungan yang diraih sebelum PKP.

Ini adalah bukti teknologi digital berperanan penting ketika dunia sedang bergelut dengan pandemik yang telah membunuh lebih satu juta penduduk.

Penting bagi ekonomi APEC untuk menambah baik infra struktur supaya e-perniagaan dapat dinikmati lebih ramai peniaga kecil dan sederhana dan tidak hanya tertumpu kepada bandar-bandar besar.

Penutupan sempadan di antara negara juga telah menimbulkan banyak kesulitan. Industri pelancongan, contohnya, menerima tamparan hebat di mana banyak hotel terpaksa ditutup, termasuk di Malaysia. Industri hiburan turut terasa bahang pandemik.

Oleh itu, sempadan tidak boleh ditutup selamanya kerana ia memberi impak besar kepada industri pelancongan dan juga menyebabkan rakyat menjadi resah kerana merasa terkongkong.

Walaupun ada negara yang ingin mencuba laluan gelembung perjalanan atau travel bubble ke negara "selamat", bukan mudah untuk kembali kepada keadaan normal.

Oleh itu, ekonomi APEC perlu mencari jalan untuk mentransformasikan mana yang perlu untuk merancakkan kembali industri pelancongan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang menyampaikan ucaptama pada pembukaan Dialog, telah menggariskan tiga keutamaan sebagai panduan ekonomi APEC di dalam menuju ke hadapan.

Prioriti pertama ialah ekonomi perlu mengukuhkan kembali sokongan dan komitmen terhadap peraturan bagi sistem multi perdagangan. Ini dapat menstabilkan pasaran untuk memastikan pelaburan perdagangan terus berjalan walaupun di dalam waktu krisis.

Keduanya, terdapat keperluan mendesak untuk mengukuhkan ekonomi digital bagi mewujudkan pekerjaan. Ini boleh merancakkan kembali ekonomi yang terhenti sejak awal tahun 2020.

Ketiganya, pertumbuhan ekonomi yang inklusif dapat diteruskan untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan.

Saranan Perdana Menteri itu harus diberi perhatian yang wajar untuk memulihkan semula ekonomi yang terkesan akibat COVID-19.

Ini adalah kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah persidangan APEC, di mana kali pertama adalah pada tahun 1998.

APEC yang dianggotai 21 negara ditubuhkan pada tahun 1989. Tahun ini adalah tahun bersejarah kerana pertama kali diadakan secara maya disebabkan kekangan perjalanan akibat COVID-19.

Pada 20 November 2020, Malaysia telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang secara maya sepenuhnya. 

Di akhir AELM, Malaysia telah mencipta satu lagi sejarah apabila berjaya mencapai kesepakatan kesemua Pemimpin Ekonomi APEC untuk melancarkan Visi Putrajaya APEC 2040 dan Deklarasi Kuala Lumpur 2020.

Sekretariat Kebangsaan kali ini adalah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang bekerja keras menyediakan pentas maya untuk mesyuarat-mesyuarat dan forum pra-Persidangan.

Berita Harian X