Selasa, 24 November 2020 | 5:02pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto: NSTP/ASYRAF HAMZAH
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto: NSTP/ASYRAF HAMZAH

Kerajaan komited sokong industri penjagaan kesihatan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyatakan komited berterusan untuk menyokong industri penjagaan kesihatan Malaysia dalam mendepani cabaran yang dicetuskan COVID-19.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata kerajaan akan memberikan sokongan yang diperlukan industri untuk terus berkembang selepas menyumbang sekitar RM7 bilion kepada ekonomi negara tahun lalu.

"Walaupun COVID-19 menjejaskan aktiviti penjagaan kesihatan, kerajaan akan terus menyokong Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) untuk memastikan industri ini kekal beroperasi.

"Justeru, kita menetapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi 'gelembung perjalanan' untuk mengalu-alukan pelancong industri ini selamat. Ini adalah bukti sokongan kerajaan," katanya menyampaikan ucaptama Persidangan Maya Perisikan Pasaran Pelancongan Perubatan (insigHT2020), hari ini.

Yang turut serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood; dan Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli.

Mustapa berkata, krisis kesihatan yang dicetuskan COVID-19 dilihat menguji tahap kecekapan dan keberkesanan sistem penjagaan kesihatan semua negara.

Katanya, pandemik yang tidak hanya mengancam nyawa, malah menjejaskan ekonomi serta sistem penjagaan kesihatan yang dimiliki negara termasuk Malaysia.

"Sehubungan itu, faktor keupayaan, kesediaan dan kerjasama awam-swasta perlu dipertingkatkan sebagai langkah siap siaga negara dalam menilai gelombang COVID-19 pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata, menerusi kerjasama awam-swasta, Malaysia dilihat akan melaksanakan perubahan dalam sistem penjagaan kesihatan melalui langkah pendigitalan.

Katanya, dengan pandemik masih menimbulkan ancaman terhadap pertemuan bersemuka, inisiatif seperti telekonsultasi dan farmasi digital (e-farmasi) akan menjadi keutamaan dalam sistem penjagaan kesihatan.

"Keputusan yang dipacu oleh data akan menjadi keutamaan kita. Inisiatif Gudang Data Kesihatan Malaysia (MyHDW) akan menjadi pendorong dalam meningkatkan ketepatan membuat keputusan," katanya.

Dalam pada itu, Sherene berkata, industri pelancongan kesihatan dijangka menyumbang sehingga RM10 bilion kepada ekonomi Malaysia apabila industri berkenaan pulih kelak.

Katanya, industri itu kini sedang menuju ke arah 'kebangkitan semula' menerusi pelaksanaan tiga strategi dalam menghadapi cabaran COVID-19.

"Pertama, memastikan kesinambungan industri; pendigitalan penjagaan kesihatan; dan memperkasakan industri Malaysia menerusi penjenamaan antarabangsa," katanya.

Malaysia menjadi peneraju di rantau ini bagi pelancongan penjagaan kesihatan dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 16 peratus antara 2015-2019 berbanding pertumbuhan tahun ke tahun global dan Asia Pasifik iaitu masing-masing 10-12 peratus dan 12-14 peratus.

Malaysia mengekalkan rekod sebagai destinasi penjagaan kesihatan berkelas dunia dan ia diperkukuhkan lagi dengan kemenangan di Anugerah Pelancongan Perubatan Medical Travel Journal (IMTJ) 2020 baru-baru ini.

Tahun lalu, industri itu mencatatkan pendapatan hospital sebanyak RM1.7 bilion sehingga menghasilkan kesan ekonomi sebanyak RM7 bilion.

Berita Harian X