Isnin, 16 November 2020 | 11:29am
Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), Datuk Rohana Mahmood, Datuk Rohana Mahmood -NSTP/Saifullizan Tamadi
Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), Datuk Rohana Mahmood, Datuk Rohana Mahmood -NSTP/Saifullizan Tamadi

ABAC hasil dua laporan perkukuh ekonomi APEC

KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) melakar sejarahnya yang tersendiri apabila buat pertama kali menghasilkan dua laporan penting sempena penganjuran Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun ini.

Laporan dihasilkan di tengah-tengah persekitaran mencabar yang belum pernah dihadapi dicetuskan pandemik COVID-19.

Setiap tahun, lazimnya ABAC yang menjadi suara perniagaan utama Pemimpin APEC akan menghasilkan satu laporan yang mengandungi cadangan mengenai hala tuju untuk memantapkan pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan perdagangan rantau itu.

Namun, penularan COVID-19 yang memberi kesan terhadap aktiviti ekonomi dan menjejaskan rantaian bekalan global mendorong ABAC dengan pantas menghasilkan satu laporan khas mengenai impak COVID-19 serta cadangan yang perlu dilakukan untuk memulihkan dan memperkasakan semula ekonomi rantau itu.

Pengerusi ABAC, Datuk Rohana Mahmood menyifatkan ia pencapaian bermakna bagi ABAC, yang ditubuhkan pemimpin APEC pada 1995, meskipun mesyuarat hanya dilakukan secara dalam talian, lebih mencabar jika dibandingkan dengan mesyuarat yang diadakan secara fizikal.

Beliau berkata, siapnya dua laporan itu dalam masa yang ditetapkan menunjukkan komitmen jitu anggota ABAC untuk mengembalikan ekonomi serantau ke dalam landasan pemulihan yang kukuh.

"Kepimpinan berani diperlukan dalam masa yang kompleks dan ia lebih diperlukan lagi ketika pandemik ini.

"Tidak ada ekonomi boleh menjayakannya sendiri dan kita perlukan kerjasama dan kesepakatan dalam kalangan semua ekonomi APEC untuk menuju ke arah pengukuhan ekonomi," katanya dalam satu temubual bersama Kumpulan NSTP, baru-baru ini.

Rohana berkata, di sebalik cabaran yang dicetuskan pandemik COVID-19, ia membuka peluang kepada 21 ekonomi APEC yang mewakili 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia menetapkan semula ekonomi masing-masing pasca pandemik.

Malah, beliau berkata, pandemik juga mendorong kepada kerjasama dan kesepakatan yang lebih mendalam membabitkan anggota kerjasama ekonomi serantau itu.

"ABAC akan mencadangkan kepada 21 pemimpin ekonomi APEC bagaimana integrasi, inovasi, keterangkuman dan kemampanan memulihkan pertumbuhan ekonomi pasca COVID-19," katanya.

Rohana berkata, sempadan serantau perlu dibuka semula dan rangka kerja serantau mesti dibangunkan untuk mengekang gangguan rantaian bekalan.

Beliau berkata, pekerja juga perlu dilatih semula dengan tumpuan dalam pendigitalan, yang mana segmen berkenaan berperanan penting dalam pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Katanya, pendigitalan menjadi pemacu utama untuk menyokong pemulihan ekonomi dengan memperkukuhkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME) menerusi pendigitalan.

"Malah, 97 peratus ekonomi APEC adalah MSME.

"Kami menggesa pasaran utama di rantau ini untuk membuka perdagangan barangan dan perkhidmatan, pelaburan, mengatasi halangan perdagangan serta perkhidmatan penting, meminimumkan gangguan rantaian bekalan, menyokong MSME berkaitan cabaran operasi dan memanfaatkan sambungan digital, " katanya.

ABAC juga menggesa pemimpin untuk menerapkan visi pasca 2020 bagi memastikan perdagangan dan pelaburan bebas dan terbuka termasuk sistem perdagangan berdasarkan peraturan pelbagai hala.

Di samping itu, ia juga menggalakkan digitalisasi ekonomi dan promosi inovasi serta pembangunan infrastruktur yang lebih selamat, mudah diakses dan berpatutan, sementara mendorong penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Sementara itu, Rohana berkata, ABAC akan menganjurkan Dialog CEO APEC secara dalam talian sepenuhnya pada 19 hingga 20 November ini susulan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, buat masa ini, beberapa pemimpin utama APEC, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) global, pemikir terkemuka juga sudah melahirkan persetujuan untuk menyertai dialog yang bertemakan 'APEC Re-Imagined: Priorities in the Aftermath of COVID-19'.

Pembukaan Dialog CEO APEC akan disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara topik yang dibincangkan merangkumi peranan ASEAN dalam masa depan APEC, pendigitalan terutama membabitkan MSME, sistem kesihatan, pengajaran pasca pandemik dunia, pertumbuhan masa depan, kepimpinan masa depan, memperkasakan wanita, masa depan perdagangan dan pertumbuhan Asia Pasifik.

Berita Harian X