Jumaat, 30 Oktober 2020 | 4:44pm
Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC)
Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC)

Tiga tonggak bentuk visi APEC pasca 2020

KUALA LUMPUR: Tiga tonggak utama akan menjadi rangka utama pembentukan visi pasca 2022 untuk Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Pengerusi Mesyuarat Pegawai Kanan (SOM) APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob, berkata tiga teras asas itu adalah pelaburan perdagangan, digitalisasi dan inovasi serta kemampanan dan kebolehlihatan.

Katanya, APEC akan cuba menghasilkan satu kenyataan jelas yang mudah diingat semua untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

"Kami membahagikannya kepada tiga atau empat bidang yang menjadi teras asas kepada APEC untuk tempoh 30 tahun lagi.

"Elemen pelaburan perdagangan sudah tentu akan dimasukkan ke dalam visi pasca 2020, begitu juga digitalisasi dan inovasi yang akan menjadi hala tuju ke hadapan memandangkan kita bergerak melangkaui tahun 2020.

"Selain itu, satu lagi tonggak yang dilihat cukup penting ialah kebolehlihatan dan kemampanan yang akan menjadi teras asas visi pasca 2020 untuk APEC," katanya dalam Taklimat Media Pemimpin Ekonomi APEC Mingguan yang disiarkan secara maya, hari ini.

Hairil Yahri berkata, beliau percaya semua 21 anggota APEC akan bersatu dalam usaha untuk merumuskan kenyataan visi peringkat tinggi pada bulan depan, sekali gus menjamin bahawa perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China tidak akan menggagalkan deklarasi APEC tahun ini.

"Apa yang dilakukan sejak awal tahun ini adalah memulakan pertemuan dan perbincangan, di mana kami mengambil maklum dengan amat teliti terhadap saranan membabitkan semua ekonomi, termasuk China dan AS bagi membolehkan kita bergerak ke hadapan bagi mencapai hasil untuk APEC 2020 .

"Daripada pemerhatian saya sebagai pengerusi SOM, rundingan ini akan menjadi berguna, seperti yang dapat disaksikan dalam pencapaian kami setakat ini," katanya.

Pemimpin APEC buat pertama kali dalam sejarah gagal mencapai kata sepakat dalam sidang kemuncak di Papua New Guinea tahun lalu berikutan perpecahan antara dua gergasi ekonomi dunia membabitkan perdagangan dan pelaburan yang menghalang kerjasama.

Berita Harian X