Khamis, 1 Oktober 2020 | 7:11pm
Elemen kawalan perburuhan dimasukkan sebagai salah satu syarat pelesenan ladang sawit di bawah pensijilan MSPO - Foto hiasan
Elemen kawalan perburuhan dimasukkan sebagai salah satu syarat pelesenan ladang sawit di bawah pensijilan MSPO - Foto hiasan

Malaysia komited tangani isu buruh sektor perladangan

PUTRAJAYA: Malaysia komited terhadap isu perburuhan dalam sektor perladangan komoditi, apabila elemen kawalan perburuhan dimasukkan sebagai salah satu syarat pelesenan ladang sawit di bawah pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang berkuat kuasa secara mandatori mulai 1 Januari lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata pemahaman mengenai kewujudan buruh paksa dan buruh kanak-kanak dalam konteks ekonomi dan budaya Malaysia serta usaha kolektif pelbagai pihak dalam isu itu amat penting untuk meyakinkan komuniti antarabangsa terhadap komitmen utuh dan kesediaan kerajaan dalam menangani isu berkenaan.

Beliau berkata, isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak khususnya warga asing adalah kompleks kerana membabitkan faktor penentu yang unik dan berbeza bagi setiap negara serta berkait rapat dengan latar belakang ekonomi, perbezaan struktur sosiobudaya, peraturan serta undang-undang tempatan.

Justeru, katanya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah mengambil langkah permulaan menangani isu itu melalui pelaksanaan kajian awal situasi buruh dalam sektor perladangan sawit pada 2014.

Jelasnya, pada 2018, KPPK dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selaku perunding teknikal kajian melaksanakan kajian menyeluruh situasi buruh di sektor perladangan sawit Malaysia bagi memastikan hasil kajian yang lebih komprehensif.

"Sebagai makluman, KPPK telah membentangkan kajian situasi buruh sektor perladangan sawit Malaysia dan telah diterima oleh Kabinet pada 24 Julai lalu.

"Dalam hal ini, laporan akhir kajian menyeluruh itu akan dikemukakan kepada Jabatan Buruh Amerika Syarikat (AS) dan ILO sebagai salah satu inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada Senarai Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan (TVPRA).

"Langkah ini diharap dapat mengelakkan sekatan ke atas produk agrikomoditi negara pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan mengulas mengenai situasi buruh paksa dalam sektor perladangan sawit.

Ia susulan beberapa insiden yang membabitkan penahanan eksport produk agrikomoditi Malaysia ke AS oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) kebelakangan ini.

Pada 2009, sektor sawit Malaysia telah dimasukkan di dalam Senarai Barangan Dihasilkan Oleh Buruh Kanak-Kanak atau Buruh Paksa oleh Jabatan Buruh AS atas dakwaan menggunakan buruh paksa selaras dengan peruntukan undang-undang negara berkenaan iaitu TVPRA.

Ia diikuti dengan dakwaan penggunaan buruh kanak-kanak pada 2014.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa AS adalah pasaran penting serta antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport agrikomoditi seperti produk sawit negara.

Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, beliau berkata, jumlah eksport agrikomoditi ke negara berkenaan bernilai RM11.8 bilion.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, KPPK akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pihak kepentingan bagi mencari penyelesaian berkesan untuk menangani isu berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, jerayawara turut dijalankan bagi memberi pemahaman dan penjelasan mengenai keperluan pematuhan syarat perburuhan untuk memastikan tiada amalan sedia ada yang boleh dikaitkan dengan buruh paksa.

"Namun, ia adalah proses berterusan dan akan memakan masa," katanya.

Berita Harian X