Khamis, 1 Oktober 2020 | 3:01pm
SME Bank
SME Bank

3,090 pelanggan SME Bank pilih pakej struktur pembiayaan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 3,090 pelanggan SME Bank dengan jumlah pembiayaan RM4.8 bilion telah memilih pakej penstrukturan dan penjadualan semula yang ditawarkan di bawah Program Kemudahan PKS (SRP).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata perusahaan bersaiz mikro, kecil dan sederhana (MSME) ini membabitkan sektor pelancongan, pendidikan, pengangkutan awam, kesihatan dan stesen minyak serta telah memenuhi kriteria SRP seiring dengan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi.

"Dengan adanya bantuan-bantuan seperti SRP ini, kita dapat mencapai kestabilan ekosistem keusahawanan, memulihkan operasi perniagaan dalam tempoh segera serta memastikan PKS kekal berdaya saing dan mampan selepas krisis COVID-19," katanya dalam satu kenyataan.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail pula berkata, SRP dirangka dengan mengambil kira keperluan dan keteguhan aliran tunai perniagaan setiap pelanggan.

Beliau berkata, program SRP ini secara amnya menawarkan lanjutan tempoh pembiayaan sedia ada selama 12 bulan.

Daripada jumlah keseluruhan pelanggan yang layak, 66 peratus menerima pakej lanjutan moratorium sehingga 12 bulan dan 15 peratus menerima pakej bayaran kadar keuntungan selama enam bulan sementara selebihnya telah membuat penjadualan semula pembiayaan mereka.

"Pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan setiap pelanggan SME Bank mendapat maklumat yang jelas berkenaan bantuan SRP yang ditawarkan," kata Aria.

Beliau menambah, bantuan SRP ini akan bermula selepas tempoh moratorium automatik Bank Negara Malaysia (BNM)berakhir pada 30 September 2020.

Berita Harian X