Khamis, 1 Oktober 2020 | 2:49pm
Pinjaman sistem perbankan pada Ogos 2020 meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun - Foto hiasan
Pinjaman sistem perbankan pada Ogos 2020 meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun - Foto hiasan

Rangsangan PENJANA lonjak pinjaman bank

KUALA LUMPUR: Pinjaman bank terus meningkat yang memberi gambaran aktiviti ekonomi semakin rancak, disokong oleh rangsangan daripada Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA), demikian menurut MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, pinjaman sistem perbankan pada Ogos 2020 meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun, hampir sama dengan pertumbuhan 4.5 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Ia berkata, pinjaman bagi hartanah kediaman dan kenderaan masing-masing meningkat sebanyak 7.5 peratus dan 2.5 peratus pada Ogos, manakala pinjaman runcit berkembang pada kadar lebih pantas sambil diimbangi oleh peningkatan sederhana pinjaman perniagaan.

"Tidak mengejutkan, pinjaman runcit berkembang pada kadar lebih pantas dengan rangsangan PENJANA. Ia berkembang 5.7 peratus tahun ke tahun kepada RM933.5 bilion berbanding 5.1 peratus sebanyak RM924.5 bilion bulan sebelumnya.

"Sementara itu, pinjaman perniagaan sekali lagi berkembang lebih rendah pada 2.6 peratus tahun ke tahun kepada RM796.8 bilion berbanding 3.2 peratus sebanyak RM796.4 bilion pada Julai," katanya.

MIDF Research berkata, peningkatan lebih rendah pinjaman perniagaan adalah disebabkan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi pinjaman modal kerja iaitu 2.6 peratus kepada RM402.9 bilion pada Ogos.

"Kami berpandangan bahawa ini adalah disebabkan sentimen semasa yang berhati-hati disebabkan kekurangan petunjuk jangka panjang berhubung persekitaran perniagaan," katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah permohonan pinjaman baharu pada Ogos bagaimanapun menguncup sebanyak 13.7 peratus tahun ke tahun.

Katanya, ini disebabkan penurunan permohonan pinjaman modal kerja dan pembinaan yang masing-masing merosot sebanyak 28.9 peratus kepada RM14 bilion serta 60.9 peratus kepada RM1.9 bilion.

Bagaimanapun, ia berkata permohonan pinjaman berkaitan rangsangan PENJANA terus meningkat dengan pertumbuhan 47.7 peratus tahun ke tahun kepada RM8.14 bilion bagi pinjaman kenderaan dan 16.8 peratus tahun ke tahun kepada RM27.5 bilion bagi pembelian hartanah kediaman.

"Kami percaya bahawa bank akan terus lebih berhati-hati berikutan ketidaktentuan pasca moratorium seperti yang dibuktikan melalui penurunan kelulusan pinjaman sejak Mac lalu. Kelulusan pinjaman susut 14.2 peratus tahun ke tahun pada Ogis.

"Kelulusan pinjaman bagi pinjaman kenderaan meningkat 31.1 peratus tahun ke tahun kepada RM4.6 bilion, namun pinjaman gadai janji pula susut 6.1 peratus tahun ke tahun kepada RM9.9 bilion.

"Begitupun, dengan permohonan pinjaman lebih rendah, kadar kelulusan pinjaman meningkat kepada 43.3 peratus," katanya.

Sementara itu, MIDF Research berkata, kualiti aset bank terus meningkat dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) berada pada 1.40 peratus berbanding 1.43 peratus pada bulan sebelumnya.

"Bagaimanapun, kami percaya ini tidak menceritakan gambaran keseluruhan. Kami berpandangan ini adalah disebabkan moratorium pinjaman yang membolehkan GIL stabil kerana tiada pinjaman di bahwa moratorium akan diklasifikasikan sebagai terjejas," katanya.

Berita Harian X