Rabu, 30 September 2020 | 9:47pm
Bangunan Kementerian Kewangan Malaysia di Putrajaya
Bangunan Kementerian Kewangan Malaysia di Putrajaya

Defisit kekal 5.8 peratus hingga 6.0 peratus - MoF

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan defisit fiskal tahun ini kekal berada pada paras sasaran 5.8 hingga 6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, kadar berkenaan negara itu juga dijangka akan terus berkurangan pada tahun hadapan.

MoF berkata, langkah konsolidasi fiskal akan dilaksanakan secara lebih berhemah mengambil kira 2021 adalah tahun peralihan fasa pemulihan krisis COVID-19.

"Kerajaan akan memastikan pelaksanaan projek yang telah diluluskan dan langkah di bawah pakej rangsangan dilaksana dengan segera bagi membantu negara pulih dari krisis pandemik ini secepat mungkin.

"Di samping itu, Jawatankuasa Dasar Fiskal 2020 turut bersetuju memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pertumbuhan ekonomi terutama merancak dan menarik pelaburan berkualiti yang berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda (multiplier effect) kepada ekonomi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempengerusikan Jawatankuasa Dasar Fiskal 2020 bagi meneliti kedudukan fiskal kerajaan dan perkembangan ekonomi negara dalam jangka masa sederhana.

Jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamaed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saiful Anuar Lebai Hussen.

MoF berkata, situasi ekonomi global pada tahun ini mencabar berikutan pandemik COVID-19.

KDNK negara katanya menyusut sebanyak 8.3 peratus pada separuh pertama 2020, namun dijangka lebih baik pada separuh kedua dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi serta pelaksanaan pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi.

Jawatankuasa juga katanya telah membincangkan anggaran dan prospek pertumbuhan ekonomi, serta kedudukan fiskal kerajaan bagi penyediaan Belanjawan 2021.

"KDNK dianggar menguncup antara 5.5 peratus hingga 3.5 peratus pada tahun ini dan dijangka kembali pulih dengan pertumbuhan antara 5.5 peratus hingga 8 peratus pada 2021.

"Ahli jawatankuasa turut membincangkan langkah-langkah untuk membantu rakyat dan menyokong perniagaan serta memastikan tanggungjawab fiskal dengan mengambil pendekatan yang seimbang diambil kira.

"Pada masa sama, mengambil langkah bagi menyokong momentum pemulihan dengan fokus untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dan yang terjejas teruk berikutan krisis ini," katanya.

MoF berkata, ini adalah bagi memastikan kesinambungan dan keberkesanan pakej-pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN.

Langkah mengekalkan momentum pemulihan ekonomi katanya sedang diperinci dan akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November ini.

Berita Harian X