Rabu, 30 September 2020 | 7:22pm
Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) - Foto fail NSTP
Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) - Foto fail NSTP

ASNB isytihar agihan pendapatan tiga dana

KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2020 untuk dana unit amanah harga tetap Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) serta dana harga berubah, ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 (ASN Sara 2) sebanyak RM645.9 juta dalam suasana ekonomi yang mencabar, ditambah dengan kesan pandemik COVID-19.

ASM 3 mengisytiharkan pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM571.3 juta yang

memberi manfaat kepada 513,721 pemegang unit dengan memiliki lebih 14.3 bilion unit.

Pengagihan pendapatan sebanyak 4.00 sen seunit ini mengatasi penanda aras pulangan Deposit

Tetap 12-bulan Maybank pada kadar 2.51 peratus sebanyak 149 mata asas.

Dua dana harga berubah, iaitu ASN Equity 5 dan ASN Sara 2 mengagihkan pembayaran pengagihan pendapatan masing-masing berjumlah RM12.7 juta dan RM61.9 juta, iaitu pulangan sebanyak 3.10 sen seunit dan 3.60 sen seunit.

Pengagihan pendapatan ini memberikan hasil dividen sebanyak 3.51 peratus untuk ASN Equity 5 dan 3.61 peratus bagi ASN Sara 2 berdasarkan Nilai Aset Bersih kedua-dua dana berkenaan pada 24 September 2020.

ASNB dalam kenyataannya berkata, urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB seluruh negara telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 24 September hingga 30 September 2020 untuk ASM 3 dan dari 29 September hingga 1 Oktober 2020 untuk ASN Equity 5 serta ASN Sara 2 bagi memudahkan

pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka melalui portal myASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan ASNB atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Oktober 2020 untuk ASM 3, dan 2 Oktober 2020 untuk ASN Equity 5 dan ASN Sara 2.

Berita Harian X