Rabu, 30 September 2020 | 2:26pm
Berdasarkan 1,063 item yang diliputi dalam IHPR, 39.2 peratus item mencatatkan kenaikan harga pada Ogos 2020 - Foto Bloomberg
Berdasarkan 1,063 item yang diliputi dalam IHPR, 39.2 peratus item mencatatkan kenaikan harga pada Ogos 2020 - Foto Bloomberg

Indeks Harga Pengeluar menguncup bulan lalu

PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan susut 2.8 peratus pada Ogos 2020, berbanding bulan yang sama tahun lalu.

IHPR pengeluaran tempatan adalah indeks yang berasaskan output, yang mengukur purata perubahan harga komoditi untuk jualan pasaran tempatan yang dinilai pada harga di kilang.

Berdasarkan 1,063 item yang diliputi dalam IHPR, 39.2 peratus item mencatatkan kenaikan harga pada Ogos 2020, demikian kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan.

Sementara itu, 54.5 peratus item menunjukkan penyusutan harga manakala 6.3 peratus item tidak berubah.

Penurunan IHPR pengeluaran tempatan keseluruhan dipengaruhi oleh penurunan indeks perlombongan (-33.7 peratus), bekalan elektrik dan gas (-1.9 peratus) dan pembuatan (-0.9 peratus).

Sebaliknya, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan dan bekalan air masing-masing meningkat sebanyak 15.6 peratus dan 0.7 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan kenaikan 1.0 peratus pada Ogos 2020, disokong oleh peningkatan indeks

pertanian, perhutanan dan perikanan (6.0 peratus), perlombongan (3.0 peratus), bekalan air (1.5 peratus) dan pembuatan (0.5 peratus).

Sebaliknya, indeks bekalan elektrik dan gas turun 0.2 peratus.

IHPR pengeluaran tempatan bagi tempoh Januari-Ogos 2020 mencatatkan penurunan 2.4 peratus berbanding -2.3 peratus pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Berita Harian X