Rabu, 30 September 2020 | 2:00pm
Aktiviti ekonomi Malaysia yang kembali aktif adalah tanda pemulihan ekonomi - Foto hiasan
Aktiviti ekonomi Malaysia yang kembali aktif adalah tanda pemulihan ekonomi - Foto hiasan

Pakej rangsangan pacu prestasi ekonomi suku ketiga

PUTRAJAYA: Prestasi ekonomi suku ketiga dijangka lebih baik, berdasarkan pakej rangsangan yang berterusan untuk menyokong pertumbuhan secara keseluruhannya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata dengan aktiviti ekonomi Malaysia yang kembali aktif adalah tanda pemulihan ekonomi yang dapat digambarkan melalui petunjuk makroekonomi pada Julai, sekali gus memberikan petunjuk awal bagi suku ketiga 2020.

"Ini sejajar dengan Indeks Pelopor yang menunjukkan pemulihan ekonomi dalam waktu terdekat dan prospek ekonomi yang lebih cerah menjelang 2021," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, senario ini dapat dilihat dengan peningkatan jumlah tenaga kerja iaitu 15.82 juta orang pada Julai 2020 daripada 15.76 juta orang pada bulan sebelumnya.

Kadar pengangguran, katanya turun kepada 4.7 peratus berbanding 4.8 peratus pada bulan sebelumnya.

"Nilai jualan bagi sektor pembuatan meningkat kepada RM119.3 bilion pada Julai, naik 2.1 peratus bagi bulan ke bulan.

"Perdagangan borong dan runcit juga menunjukkan pemulihan pada Julai dengan menjana nilai jualan sebanyak RM108.7 bilion pada pertumbuhan 5.6 peratus berbanding bulan sebelumnya," katanya.

Mohd Uzir berkata, pertumbuhan jualan yang lebih baik bagi subsektor ini, disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor berikutan strategi yang efektif daripada kerajaan ke atas pelepasan cukai sebelum ini.

Dari segi perdagangan barangan Malaysia pula, beliau berkata Julai mencatatkan peningkatan jumlah perdagangan sebanyak RM159.9 bilion berbanding RM144.7 bilion daripada bulan sebelumnya.

"Pada Julai, jumlah eksport naik 11.7 peratus manakala import meningkat 8.7 peratus.

"Dari segi tahun ke tahun, eksport meningkat sebanyak 3.1 peratus manakala import terus menyusut pada Julai 2020," katanya.

Mohd Uzir berkata, pada Ogos, eksport dan import mencatatkan penyusutan, namun, imbangan perdagangan terus merekodkan lebihan dagangan.

Katanya, peranan sektor pelancongan dalam ekonomi amat penting memandangkan aktiviti berkaitan pelancongan meliputi 23.6 peratus pekerjaan dan menyumbang 15.9 peratus atau RM240.2 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun lalu.

"Kerajaan telah mengumumkan inisiatif pelancongan bagi meningkatkan aktiviti promosi yang menarik oleh agensi pelancongan serta industri hotel dan penginapan, dan ia akan menyokong serta menghidupkan semula aktiviti pelancongan domestik pada tahun ini," katanya.

Berita Harian X