Selasa, 29 September 2020 | 7:29pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyempurnakan pelancaran pejabat baharu NEC Corporation of Malaysia Sdn Bhd (NEC Malaysia) bersama Duta Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi (kanan) dan Pengarah Urusan NEC Malaysia, Chong Kai Wooi - NSTP/Amirudin Sahib
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyempurnakan pelancaran pejabat baharu NEC Corporation of Malaysia Sdn Bhd (NEC Malaysia) bersama Duta Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi (kanan) dan Pengarah Urusan NEC Malaysia, Chong Kai Wooi - NSTP/Amirudin Sahib

Firma digital Jepun minat kembangkan perniagaan di Malaysia

KUALA LUMPUR: Lebih banyak syarikat digital Jepun berminat mengembangkan perniagaan di Malaysia dalam usaha membangunkan teknologi dan perkhidmatan digital ke seluruh dunia.

Duta Jepun ke Malaysia, Oka Hiroshi, berkata syarikat digital di Jepun turut berminat untuk menjalin kerjasama dengan syarikat Malaysia, sekali gus bakal mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan perdagangan antara kedua-dua negara.

"Dengan teknologi canggih Jepun dan landskap digital yang berkembang di Malaysia, kami boleh menawarkan lebih banyak perkhidmatan digital untuk menjadikan negara ini sebagai hab Asia.

"Kita dapat lihat beberapa jalinan kerjasama antara syarikat Jepun-Malaysia membabitkan syarikat besar dan syarikat pemula niaga teknologi. Ia menjadi sebahagian pemangkin kepada lebih banyak kerjasama selepas ini," katanya berucap pada majlis pelancaran pejabat baharu NEC Corporation of Malaysia Sdn Bhd (NEC Malaysia) di The Gardens South Tower dekat sini, hari ini.

Perasmian pejabat baharu NEC Malaysia disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan NEC Malaysia, Chong Kai Wooi.

Hiroshi berkata, momentum yang ditunjukkan dari kerjasama syarikat digital Jepun-Malaysia akan menjadi asas kukuh dalam pembinaan ekosistem digital.

Katanya, ekosistem itu penting dan diperlukan bagi membangunkan ekonomi digital Malaysia yang mampan.

"Kerjasama ini akan terus memacu hubungan rapat industri kita dan sokongan berterusan kerajaan Jepun dan Malaysia," katanya.

Sementara itu, NEC Malaysia meraih kontrak pemasangan alat pengimbas haba dan pengecaman wajah bagi mengesan jangkitan COVID-19 di 23 lapangan terbang di Malaysia.

Mengulas mengenainya, Kai Wooi berkata, syarikat itu sedang giat memasang peranti di pintu masuk sempadan bagi perjalanan udara dan dijangka selesai menjelang awal November ini.

"Kami meraih kontrak dari Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) awal bulan ini untuk memasang alat pengimbas di lapangan terbang kendalian syarikat itu di mana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Pulau Pinang akan menjadi yang pertama.

"Ini sebagai persediaan menjelang pembukaan semula sempadan serta memberikan perjalanan rentas negeri yang lebih selamat ketika kita masih berusaha menangani pandemik ini," katanya.

Beliau berkata, alat pengimbas berteknologi tinggi akan dipasang di pintu masuk penerbangan domestik dan antarabangsa.

"Buat masa ini pemasangan akan membabitkan 23 lapangan terbang di seluruh negara," katanya.

Dalam pada itu, pejabat baharu NEC Malaysia akan menjadi pusat pengalaman moden pelanggan di mana ia akan mempamerkan peranti biometrik tercanggih NEC, teknologi kecerdasan buatan, internet kebendaan (IoT) dan teknologi tanpa sentuhan yang digunakan di bandar pintar di seluruh dunia.

Berita Harian X