Selasa, 29 September 2020 | 6:49pm
Pasaran gelap rokok menyebabkan negara kerugian RM5 bilion setahun dari segi hasil cukai - Foto hiasan
Pasaran gelap rokok menyebabkan negara kerugian RM5 bilion setahun dari segi hasil cukai - Foto hiasan

Belanjawan 2021 perlu hentikan ketirisan hasil

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak lagi boleh menutup mata atau mengetepikan hakikat kehilangan hasil sebanyak RM300 bilion akibat ekonomi bayangan, khususnya ketika keadaan ekonomi negara kekal suram, demikian menurut kumpulan Advokasi Jenama Runcit dan Dagang Malaysia (RTBA Malaysia).

Berikutan itu, atas dasar melindungi perniagaan, pekerjaan dan kehidupan, RTBA Malaysia mengetengahkan empat cadangan untuk kerajaan membanteras pasaran gelap rokok yang menyebabkan negara kerugian RM5 bilion setahun dari segi hasil cukai serta membentuk bahagian besar RM300 bilion berkenaan.

Empat cadangan itu adalah menambah pembiayaan agensi penguatkuasaan berkaitan untuk mengambil lebih ramai pekerja serta melakukan latihan lanjutan dan menyediakan kelengkapan lebih baik untuk mempertingkat prestasi dan keselamatan; meneliti semula mekanisme harga dan stuktur eksais yang akan menangani perbezaan besar harga antara produk sah dan seludup, sekali gus melenyapkan galakan bagi penggiat pasaran gelap.

"Ketiga, mewujudkan pembiayaan untuk pelbagai agensi dan pasukan petugas multinasional bagi memerangi pasaran rokok haram yang turut menular ke negara-negara jiran.

"Keempat, mewujudkan dana antipasaran gelap bagi menggalakkan orang ramai tampil memberi maklumat. Dana ini juga boleh digunakan bagi meningkatkan proses laporan untuk menambah baik masa respon dan kualiti tindakan," kata RTBA Malaysia dalam kenyataannya mengenai harapan bagi Belanjawan 2021 yang dijadual dibentangkan pada November depan.

Sementara itu, Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Datuk Fazli Nordin menyifatkan pasaran rokok gelap itu turut memberi kesan negatif berganda terhadap ekonomi negara kerana membiayai jenayah, menggalakkan gejala rasuah serta menjejaskan agenda kesihatan negara.

"Malangnya, keadaan dijangka bertambah buruk. Laporan oleh Japan Tobacco International baru-baru ini menyatakan pandemik COVID-19 telah mencetuskan keadaan yang mana kumpulan jenayah terancang mengeksploitasi permintaan terhadap barangan murah serta mengaut keuntungan daripada kuasa beli yang berkurangan terutama di negara-negara dengan rejim cukai yang tinggi.

"Masalah ini besar dan telah berakar umbi...oleh itu penyelesaiannya tidak boleh bersifat pendekatan langkah demi langkah.

"Ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan pelbagai hala dengan membanteras pasaran gelap dari segi permintaan dan bekalan," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X