Selasa, 29 September 2020 | 6:28pm
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) - Foto fail NSTP
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) - Foto fail NSTP

Kutipan cukai dijangka lebih rendah tahun ini

PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyemak semula sasaran kutipan cukai tahun ini, selepas mengambil kira kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dicetuskan penularan COVID-19 yang memberi kesan kepada pendapatan individu dan perniagaan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Cukai) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Mohd Nizom Sairi, berkata semakan semula kutipan cukai yang dilaksanakan agensi itu dijangka kira-kira RM100 bilion, lebih rendah berbanding sasaran awal iaitu RM154 bilion yang diumumkan Kementerian Kewangan (MoF).

"Kami sudah mengemukakan angka semakan yang dicadangkan kepada MoF berdasarkan prestasi semasa dan trend kutipan ketika ini. LHDN sudah mengambil kira dan melihat gambaran penuh kemampuan ekonomi untuk membolehkan pembayar cukai melunaskan tanggungjawab kepada negara.

"Apa yang boleh dikatakan adalah, kutipan cukai tahun ini sememangnya terjejas disebabkan COVID-19 dan pengurangan yang dicadangkan juga adalah ketara, tetapi kita akan berusaha untuk melepasi angka RM100 bilion.

"Kami sudah salurkan jumlah anggaran yang dicadangkan, namun angka sebenar belum diputuskan oleh MoF dan pengumuman mengenainya juga akan dibuat oleh kementerian," katanya kepada media selepas menjadi ahli panel Forum Dasar Cukai Malaysia Ke-2 di sini, hari ini.

Awal tahun ini, MoF mengumumkan sasaran kutipan cukai mencecah RM154 bilion bagi 2020 berbanding RM147 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, Mohd Nizom berkata, semakan sasaran kutipan cukai yang bakal diumumkan MoF kelak akan menentukan unjuran tahun depan berdasarkan situasi semasa, selain mempengaruhi Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini.

"MoF akan mengambil perkara itu dalam Belanjawan 2021 kerana dari segi strateginya juga, kutipan tahun ini akan menentukan apakah yang boleh dilaksanakan pada 2021. Sesungguhnya kutipan cukai tahun ini terjejas seperti mana situasi kita hadapi sepanjang tempoh pandemik ini.

"Ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan memandangkan keadaan ekonomi negara juga terjejas akibat COVID-19 yang mana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup 17.5 peratus pada suku kedua tahun ini," katanya.

Beliau menjelaskan, meskipun kutipan tahun ini terjejas, namun kerajaan melaksanakan inisiatif untuk membantu pembayar cukai dengan memberi penangguhan bayaran bagi memberi peluang kepada pihak terbabit pulih.

"Namun, (kelonggaran) tidaklah terlampau ringan sehingga kerajaan tiada pendapatan untuk melaksanakan agenda nasional. Kerajaan memberi kelonggaran berdasar kes tertentu dengan melihat keadaan perniagaan. Ada yang sangat terjejas, jadi kita bagi lebih kelonggaran dan begitulah sebaliknya.

"Sebagai contoh, ansuran cukai tahun semasa tidak perlu dibayar oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selama tiga bulan dari April hingga Jun.

"Kerajaan juga memberi kelonggaran kepada syarikat untuk mengemukakan unjuran tahun semasa bayaran cukai pada bulan ketiga, berbanding peruntukan asal iaitu pada bulan keenam dan kesembilan. Pindaan ini adalah sesuatu yang realistik dan tidak dibuat sesuka hati," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X