Ahad, 13 September 2020 | 4:25pm
Malaysia mengeksport minyak sawit ke lebih 160 negara termasuk pasaran Eropah - Foto Bloomberg
Malaysia mengeksport minyak sawit ke lebih 160 negara termasuk pasaran Eropah - Foto Bloomberg

Pensijilan MSPO tingkat pendapatan pengusaha sawit

SANDAKAN: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) giat melaksanakan program Jom MSPO bagi

meningkatkan penyertaan pihak industri termasuk pekebun kecil persendirian mendapatkan pensijilan MSPO.

Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata ini adalah bagi memastikan pengusaha sawit dapat melaksanakan penanaman sawit secara lestari mengikut Amalan Pertanian Baik (GAP) di samping meningkatkan pendapatan pengusaha sawit termasuk pekebun kecil persendirian.

Katanya, pengeluaran minyak sawit lestari penting bagi memperluaskan pasaran minyak sawit Malaysia yang juga negara pengeluar dan pengeksport minyak sawit kedua terbesar dunia.

Malaysia, katanya mengeksport minyak sawit ke lebih 160 negara termasuk pasaran Eropah yang memberi keutamaan terhadap pengeluaran minyak sawit yang dihasilkan secara lestari.

"Selain negara Kesatuan Eropah (EU), negara pengimport utama minyak sawit seperti India dan China juga sudah mula untuk menekankan penggunaan minyak sawit lestari.

"Perkembangan ini adalah peluang bagi industri minyak sawit negara, lebih-lebih lagi minyak sawit Malaysia adalah produk berkualiti dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Jazlan sebelum itu menghadiri program Jom MSPO Negeri Sabah yang diadakan di sini, hari ini.

Beliau berkata, Sabah mempunyai keluasan kawasan tanaman sawit sebanyak 1.54 juta hektar meliputi 216,249 hektar kawasan yang diusahakan oleh pekebun kecil persendirian, iaitu 14 peratus jumlah keseluruhan kawasan tanaman sawit di Sabah.

Katanya, keluasan kawasan tanaman sawit yang diusahakan oleh pekebun kecil persendirian yang telah dipersijilkan MSPO di Sabah berjumlah 95,676.05 hektar dengan pembabitan 15,091 orang pekebun kecil persendirian.

Ini, katanya merangkumi kawasan tanaman sawit yang dipersijilkan di bawah 29 buah Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC).

SPOC ditubuhkan oleh MPOB bagi penyertaan pekebun kecil persendirian secara berkelompok.

Ahmad Jazlan berkata, bagi menggalakkan penyertaan pekebun kecil dalam aktiviti koperasi dan melaksanakan pengeluaran sawit mampan, MPOB telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) di seluruh negara.

"Penyertaan pekebun kecil dalam KPSM dapat membantu mengurangkan kos pengangkutan, mendapatkan harga pasaran buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi dan menggalakkan penjanaan dan pengagihan dividen kepada ahli-ahli KPSM.

"Pembabitan pekebun kecil dalam industri sawit adalah penting kerana menyumbang kepada hampir 30 peratus pengeluaran minyak sawit negara.

"Pekebun kecil yang menyertai SPOC akan dibimbing oleh Pegawai TUNAS MPOB melaksanakan amalan pertanian baik yang mampu meningkatkan pengeluaran hasil buah sawit dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan," katanya.

Berita Harian X