Khamis, 3 September 2020 | 5:20pm
Harga minyak yang rendah memberi tekanan kepada prestasi kewangan syarikat minyak utama global - Foto Bloomberg
Harga minyak yang rendah memberi tekanan kepada prestasi kewangan syarikat minyak utama global - Foto Bloomberg

Krisis harga, COVID-19 jejas kewangan firma minyak dunia

KUALA LUMPUR: Krisis harga minyak global dan kemuncak penularan COVID-19 tahun ini memberi tamparan hebat kepada prestasi kewangan syarikat minyak global, terutama pada suku kedua 2020.

Syarikat minyak dan gas nasional, PETRONAS yang dijangka mengumumkan keputusan kewangan suku kedua esok juga tidak terkecuali apabila sebahagian besar penganalisis mengunjur pendapatannya akan terkesan berikutan situasi berkenaan.

Pelaksanaan sekatan dan kawalan pergerakan yang meluas di peringkat global pada April dan Mei 2020 bagi membendung penularan COVID-19 menjejaskan permintaan terhadap penggunaan bahan api, sekali gus menjejaskan pendapatan syarikat penapisan minyak.

Berdasarkan perangkaan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), permintaan minyak global jatuh hampir 20 peratus pada suku kedua 2020.

Harga minyak yang rendah memberi tekanan kepada prestasi kewangan syarikat minyak utama global termasuk Saudi Aramco yang mencatatkan penyusutan pendapatan bersih sebanyak 50 peratus kepada AS$23.2 bilion (RM96.16 bilion) pada separuh pertama 2020 berbanding AS$46.9 bilion (RM194.4 bilion) dalam tempoh sama 2019.

Jumlah aliran tunai syarikat minyak Arab Saudi itu mencecah AS$21.1 bilion (RM87.46 bilion) untuk tempoh enam bulan 2020, merosot berbanding AS$38 bilion (RM157.5 bilion) tahun lalu.

Royal Dutch Shell juga tidak terkecuali apabila melaporkan untungnya merosot kepada AS$638 juta (RM2.6 bilion) pada suku kedua 2020 berbanding AS$3.46 bilion (RM14.3 bilion) pada suku sama tahun sebelumnya, manakala syarikat minyak gergasi berpangkalan di London, BP telah mengurangkan bayaran dividen selepas mencatatkan kerugian bersih AS$6.7 bilion (RM27.8 bilion) pada suku kedua 2020.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata harga minyak mentah dunia lemah pada suku kedua, dengan harga West Texas Intermediate (WTI) mencecah paras negatif pada pertengahan April 2020 jelas menunjukkan bahawa prestasi kewangan syarikat berkaitan minyak dijangka terjejas.

Beliau berkata, penggunaan aset serta perbelanjaan modal (CAPEX) dijangka mencatatkan bacaan rendah di samping penyata untung rugi yang bakal mencatatkan kelembapan.

"Situasi ini seiring dengan suasa ekonomi global yang terjejas teruk akibat pelaksanaan sekatan perjalanan di serata dunia terutamanya pada April. Justeru, keputusan kewangan bagi syarikat minyak dan gas dijangka rendah pada suku kedua 2020," katanya kepada BH.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed menjangkakan harga minyak akan berlegar sekitar AS$45 hingga AS$55 setong dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Beliau berkata, CAPEX merosot AS$100 bilion-AS$150 bilion (RM414.5 bilion-RM621.8 bilion) dalam tempoh 15 bulan lalu, sekali gus meletakkan syarikat tenaga dalam situasi yang rumit memandangkan risiko geopolitik dan strategik memberi kesan terhadap pasaran tenaga.

Katanya, syarikat gas syal tidak boleh menerima tekanan harga minyak pada paras AS$40 atau AS$45 setong.

"Kes muflis berlaku dalam gas syal Amerika Syarikat (AS) dengan pengeluaran merosot daripada 13 juta tong sehari kepada 9.8 juta tong sehari.

"Syarikat gas syal AS memerlukan pakej penyelamatan AS$300 bilion-AS$500 bilion (RM1.2 trilion-RM2.1 trilion) untuk beroperasi pada paras minyak semasa yang rendah," katanya.

Sementara itu, MIDF Research pula berpandangan kejatuhan mendadak harga minyak pada Mac memberi kesan kepada peserta penerokaan dan pengeluaran (E&P) huluan memandangkan pengeluaran minyak mempunyai kaitan rapat dengan harga minyak.

Ia berkata, di peringkat global, syarikat minyak utama termasuk PETRONAS mengurangkan atau menangguhkan sebahagian rancangan CAPEX mereka bagi 2020.

"PETRONAS mengumumkan ia akan mengurangkan CAPEX sebanyak 21 peratus kepada RM39 bilion berbanding RM50 bilion sebelumnya dengan mengambil kira persekitaran harga minyak yang rendah dan jangkaan aktiviti luar pesisir perlahan.

"PETRONAS juga mengumumkan pengurangan perbelanjaan operasi (OPEX) tahun ini sebanyak 12 peratus," katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, Moody's Investors Service mengunjurkan syarikat penapisan minyak di Asia mencatatkan penurunan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) agregat sekitar 30 peratus pada 2020 sebelum pulih semula pada 2021.

Ia berkata, permintaan produk ditapis akan pulih berikutan pelonggaran langkah sekatan pergerakan dan aktiviti ekonomi pulih secara beransur-ansur.

Katanya, margin penapisan akan disokong oleh langkah rasionalisasi peserta industri sebagai tindak balas kepada keadaan pasaran.

Berita Harian X