Isnin, 24 Ogos 2020 | 2:16pm
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Foto: NSTP/Asyraf Hamzah
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Foto: NSTP/Asyraf Hamzah

PKS perlu tingkatkan lagi digitalisasi perniagaan

KUALA LUMPUR: Walaupun terdapat peningkatan dalam jumlah penyertaan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam platform pendigitalan, peratusan usahawan PKS yang beralih kepada platform e-dagang masih boleh dipertingkatkan lagi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata terdapat peningkatan jumlah usahawan PKS yang menyertai platform pendigitalan adalah termasuk dari kawasan luar bandar dan mereka yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.

Berdasarkan kaji selidik Digital PKS Malaysia 2018 yang dilaksanakan oleh SME Corp Malaysia dan Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd, majoriti PKS menggunakan komputer dan internet sebagai medium operasi perniagaan.

"Kaji selidik juga mendapati bahawa PKS masih menghadapi masalah untuk menambah baik operasi perniagaan daripada pengkomputeran kepada digitalisasi.

"Ini disebabkan PKS menghadapi isu dari segi kos, teknologi, infrastruktur dan kemahiran penggunaan digital dalam operasi syarikat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui SME Corp Malaysia telah dipertanggungjawabkan sebagai peneraju salah satu teras di bawah Pelan Hala Tuju Strategik e-Dagang Kebangsaan (NESR) yang bertujuan mempercepatkan penerapan e-dagang dalam kalangan usahawan.

Bagi tempoh 2016 hingga 31 Mei 2020, sebanyak 322, 834 PKS telah menyertai platform e-dagang manakala sebanyak 171,776 PKS telah menghadiri latihan melalui pelbagai program daripada rakan strategik e-dagang, persatuan dan agensi kerajaan.

Sektor ICT menyumbang sebanyak RM267.7 bilion atau 18.5 peratus kepada komponen Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi tahun 2018.

Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh SME Corp Malaysia mengenai adaptasi ICT dalam kalangan PKS, terdapat peningkatan dari segi pembabitan PKS dalam perniagaan dalam talian iaitu sebanyak 26 peratus kepada 37 peratus pada 2018.

Bagi 2019, penyertaan PKS dalam perniagaan dalam talian adalah sebanyak 35.3 peratus. Sehingga 31 Januari 2020, sebanyak 276,176 entiti telah berdaftar sebagai perniagaan dalam talian melalui pendaftaran di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

MEDAC telah menyediakan pelbagai kursus dan program berkenaan pendigitalan perniagaan kepada usahawan yang berminat untuk mengembangkan perniagaan atau bertukar konsep perniagaan mereka sedia ada kepada platform e-dagang.

Agensi seperti INSKEN, SME Corp dan Institut Koperasi Malaysia (IKM) telah menyediakan pelbagai program dan kursus secara dalam talian untuk membantu lebih ramai usahawan dalam aplikasi digital.

"Dalam pada itu, saya telah meminta kementerian dan semua agensi di bawah MEDAC untuk memikirkan, meneliti inisiatif baharu dan melaksanakan program tambahan bagi membantu serta meningkatkan lagi jumlah usahawan e-dagang," katanya.

Bagi mengadaptasi ekonomi digital secara menyeluruh, PKS mesti melakukan kejuruteraan semula perniagaan dengan memastikan strategi, proses dan infrastruktur perniagaan mereka sejajar dan bersepadu untuk menyokong transformasi digital.

Melangkah ke hadapan, katanya ICT mempunyai peranan yang besar untuk menggandakan pertumbuhan PKS bukan sahaja melalui peningkatan dalam kecekapan dan produktiviti, tetapi juga dalam memperluaskan jangkauan pasaran mereka.

– Bernama

Berita Harian X