Khamis, 13 Ogos 2020 | 3:53pm
Pakej rangsangan yang diperkenalkan secara berperingkat sejak permulaan PKP membantu perniagaan ketika melalui fasa pemulihan - Foto fail NSTP
Pakej rangsangan yang diperkenalkan secara berperingkat sejak permulaan PKP membantu perniagaan ketika melalui fasa pemulihan - Foto fail NSTP

Jumlah pekerjaan di sektor swasta berkurangan

PUTRAJAYA: Pekerjaan di sektor swasta menurun kepada 8.4 juta pada suku kedua 2020 berbanding 8.6 juta yang direkodkan semasa suku pertama, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Perangkaan yang diterbitkan dalam Statistik Guna Tenaga, suku kedua 2020 berdasarkan Survei Guna Tenaga yang dijalankan ke atas pertubuhan swasta formal termasuk statistik permintaan buruh, merangkumi pekerjaan, jawatan yang dipenuhi, kekosongan jawatan dan pengwujudan pekerjaan mengikut kemahiran dan aktiviti ekonomi.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata pada suku dikaji, kadar pekerjaan yang diisi jatuh 0.1 peratus berbanding suku terdahulu kepada 98.0 peratus, menjadikan jumlah jawatan yang diisi kepada 8.2 juta, manakala peluang pekerjaan yang ditunjukkan melalui kekosongan jawatan adalah 170,000.

"Dengan kebanyakan aktiviti ekonomi tertangguh pada April sebelum diberi kelonggaran beroperasi secara beransur-ansur sepanjang Mei dan Jun, perniagaan masih perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan.

Di samping itu, beliau berkata, pergerakan penduduk yang terhad berikutan larangan pergerakan antara negeri telah memberi kesan kepada pendapatan perniagaan.

"Ini telah menyebabkan permintaan buruh yang berkurangan oleh industri yang dapat dilihat melalui bilangan kekosongan jawatan lebih rendah berbanding setahun lalu.

"Kadar kekosongan turun 0.5 mata peratus dari tahun ke tahun kepada 2.0 peratus tetapi jika dibandingkan dengan suku sebelum ini, ia meningkat secara marginal sebanyak 0.1 mata peratus.

Lebih separuh daripada kekosongan adalah jawatan separuh mahir, manakala kekosongan jawatan mahir mewakili 23.1 peratus," katanya.

Mengikut aktiviti ekonomi, 55.1 peratus daripada kekosongan jawatan adalah dalam sektor pembuatan, terutamanya dalam pengeluaran komputer, produk elektronik dan optikal, produk getah dan plastik, produk kimia dan farmaseutikal serta produk makanan.

Bagi sektor perkhidmatan dengan sumbangan 17.3 peratus, sebahagian besar kekosongan adalah dalam industri perdagangan borong dan runcit, pengangkutan darat, gudang dan aktiviti sokongan untuk pengangkutan, makanan dan minuman, serta industri kewangan dan insurans

Walaupun permintaan buruh adalah lebih rendah, sebanyak 12,000 pengwujudan jawatan direkodkan pada suku dikaji, kurang separuh daripada purata pengwujudan jawatan suku tahunan pada tahun lalu.

Menurut Mohd Uzir lagi, komuniti perniagaan di Malaysia majoritinya adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, pakej rangsangan yang diperkenalkan secara berperingkat sejak permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membantu perniagaan ketika melalui fasa pemulihan ini.

"Dengan adaptasi normal baharu, perniagaan mula mengatur strategi bagi menangani permintaan pengguna yang berubah, dan seterusnya menyebabkan perubahan keperluan bentuk kemahiran pekerja.

"Dari sudut penawaran buruh, pencari kerja perlu memanfaatkan kedudukan permintaan buruh semasa dengan menilai semula dan memperkukuh kemahiran serta pengetahuan dan seterusnya dapat mempertingkatkan kebolehpasaran dalam pasaran kerja," katanya.

Berita Harian X