Isnin, 10 Ogos 2020 | 3:27pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Jualan borong, runcit meningkat ke paras sebelum PKP

KUALA LUMPUR: Nilai jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia pada Jun 2020 meningkat semula hampir menyamai nilai jualan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan COVID-19 pada Mac lalu.

Ia sekali gus mencerminkan aktiviti perniagaan dan ekonomi di negara mulai pulih kembali secara berperingkat.

Jualan bagi sektor berkenaan bagi Jun tahun ini meningkat tinggi iaitu sebanyak 21.8 peratus kepada RM102.9 bilion berbanding bulan sebelumnya, demikian mengikut perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Subsektor perdagangan borong adalah penyumbang terbesar kepada peningkatan itu dengan RM49.0 bilion, meningkat RM8.3 bilion atau 20.3 peratus, kemudian diikuti kenderaan bermotor berjumlah RM12.1 bilion, pertambahan RM5.3 bilion atau 78.9 peratus.

Dalam tempoh sama, perdagangan runcit naik RM4.8 bilion atau 13.0 peratus untuk merekodkan RM41.8 bilion.

Peningkatan subsektor perdagangan borong itu juga disokong peningkatan lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat kepada kepada RM17.3 bilion, berkembang 35.6 peratus bulan ke bulan.

Jual borong barangan isi rumah juga meningkat dengan merekodkan 20.1 peratus kepada RM10.3 bilion, diikuti jual borong jentera, peralatan & bekalan yang menjana jualan RM4.2 bilion, berkembang 23.2 peratus berbanding Mei 2020.

Subsektor kenderaan bermotor turut melonjak untuk mencatatkan 78.9 peratus pada Jun 2020.

Jualan kenderaan bermotor merekodkan kenaikan bulan ke bulan tertinggi sebanyak RM3.5 bilion, naik 113.5 peratus untuk mencapai RM6.7 bilion, diikuti jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor yang mencatatkan nilai jualan RM2.9 bilion, meningkat RM1.1 bilion, bersamaan dengan 59.7 peratus.

Penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor juga menunjukkan peningkatan RM0.5 bilion atau 44.6 peratus untuk mencatatkan RM1.5 bilion.

Bagi perdagangan runcit pula, kesemua aktiviti runcit terus merekodkan pertumbuhan positif pada Jun 2020 terutamanya jualan runcit di kedai bukan pengkhususan dengan RM16.0 bilion, peningkatan RM1.4 bilion atau 9.1 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Kemudiannya ia diikuti oleh jualan runcit di kedai pengkhususan yang meningkat RM1.3 bilion atau 18.8 peratus kepada RM8.2 bilion.

Jualan runcit barangan isi rumah juga berkembang untuk merekodkan RM5.1 bilion, peningkatan RM0.7 bilion atau 16.7 peratus.

Indeks jualan runcit dalam talian juga menggambarkan aktiviti e-dagang turut berkembang dengan mencatatkan pertumbuhan 35.5 peratus dari tahun ke tahun, dan meningkat 5.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Bagi suku kedua 2020, kesan penularan COVID-19 mendorong Indeks Volum Perdagangan Borong & Runcit merosot 23.4 peratus kepada 97.8 mata, penurunan terbesar sejak siri data itu bermula pada 2008.

Subsektor kenderaan bermotor paling terjejas dengan mencatatkan penyusutan 48.0 peratus, yang mana sebahagian besarnya disebabkan jualan kenderaan bermotor yang jatuh 50.7 peratus dan jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor merosot 47.5 peratus.

Berita Harian X