Isnin, 27 Julai 2020 | 5:30pm
Menteri Kanan merangkap Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Kanan merangkap Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali

APEC capai konsensus permudah pergerakan barang penting

KUALA LUMPUR: Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di bawah pimpinan Malaysia mencapai konsensus untuk memudahkan pergerakan barang penting.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, Menteri-Menteri Perdagangan (MRT) menggariskan komitmen APEC untuk menyokong usaha Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan melonjakkan usaha dalam inisiatif kemudahan perdagangan selain memperkukuh rantaian bekalan blok ekonomi itu.

"Kenyataan itu turut mengiktiraf kepentingan persekitaran perdagangan dan pelaburan yang bebas, terbuka, tiada diskriminasi, telus serta dijangkakan di APEC bagi memacu pemulihan ekonomi ketika tempoh mencabar ini," katanya.

Sabtu lalu, Menteri Kanan merangkap Menteri MITI, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, telah mengeluarkan satu kenyataan jelas yang turut merujuk Deklarasi APEC bagi Kemudahan Pergerakan Barang-Barang Penting.

Mohamed Azmin yang juga Pengerusi MRT bagi 2020 berkata, Malaysia menyambut baik deklarasi itu kerana ia melambangkan komitmen tidak berbelah bahagi bagi memastikan gangguan minimum terhadap aliran pergerakan barang-barang penting, terutama ketika krisis.

"Langkah ini juga adalah satu kejayaan bermakna kerana Malaysia adalah pencadang deklarasi berkenaan," katanya.

Selain itu, MITI berkata, Malaysia turut menyambut baik kemajuan membabitkan inisiatif lain dalam APEC sebagai maklum balas terhadap pandemik COVID-19 seperti usaha fasilitasi pergerakan penduduk.

Ia juga membabitkan pertukaran maklumat serta cadangan bagi mewujudkan dana kecil APEC bagi menangani COVID-19 dan kemudahan pemulihan ekonomi.

"Tidak kurang pentingnya, Malaysia yang dipertanggungjawabkan sebagai ekonomi bagi menerajui draf Visi Pasca 2020 yang akan berperanan sebagai dokumen rujukan APEC bagi tahun-tahun akan datang, juga menyambut baik gesaan menteri-menteri mengenai visi yang bermakna dan mampu dicapai," katanya.

Mesyuarat MRT secara maya itu adalah yang pertama seumpamanya serta turut memaparkan kepimpinan Malaysia dalam menerajui kebiasaan baharu blok dengan mempengerusikan serta menjadi tuan rumah dalam format digital sepenuhnya.

Selain itu, mesyuarat sama turut disertai oleh Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) serta pemerhati dari Sekretariat ASEAN dan Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik (PECC).

-BERNAMA

Berita Harian X