Jumaat, 24 Julai 2020 | 6:20pm
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad - Foto BERNAMA
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad - Foto BERNAMA

Insentif PRIHATIN, PENJANA pacu sektor automotif

PETALING JAYA: Insentif kerajaan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akan memacu peningkatan dalam sektor automotif, dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) kini dianggarkan 470,000 unit bagi 2020.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata pihaknya menyemak naik unjuran TIV bagi tahun ini daripada 400,000 unit seperti diumumkan pada April.

Beliau berkata, MAA juga menyemak naik TIV bagi kenderaan penumpang dan komersial masing-masing kepada 427,700 unit dan 42,300 unit daripada masing-masing 360,000 unit dan 40,000 unit.

"Unjuran jualan kenderaan baharu keseluruhan pada tahun ini masih rendah iaitu turun 22.2 peratus daripada TIV tahun lalu pada 604,674 unit.

"Ini berikutan jualan terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ekoran pandemik COVID-19," katanya semasa taklimat media hari ini.

Beliau juga berkata, pembeli mungkin memanfaatkan kadar faedah semasa yang menarik dan pengecualian cukai jualan yang diumumkan di bawah PENJANA untuk membeli kenderaan baharu.

Pada separuh pertama 2020, TIV direkodkan sebanyak 174,675 unit, susut 41.1 peratus daripada 296,317 unit pada tempoh sama 2019.

Bagaimanapun, jualan kenderaan pada Jun 2020 meningkat kepada 44,695 unit daripada 42,586 unit yang direkodkan pada Jun 2019.

Jualan kenderaan penumpang bertambah kepada 40,944 unit pada Jun 2020 daripada 38,575 unit semasa Jun 2019 namun jualan kenderaan komersial merosot kepada 3,751 unit daripada 4,011 unit bagi tempoh sama.

Aishah berkata, jualan bulan ke bulan dari Mei hingga Jun meningkat selepas pengumuman pengecualian cukai jualan.

TIV melonjak daripada 23,309 unit pada Mei 2020 kepada 44,695 unit pada Jun 2020.

Lebih menarik apabila jualan kereta terpakai, terutama yang berharga di bawah RM30,000, melonjak lebih 100 peratus semasa tempoh sama, katanya.

Jualan kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan import sepenuhnya (CBU) juga meningkat susulan pengecualian cukai jualan.

Kerajaan mengumumkan pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi kenderaan penumpang, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) CKD, serta pengecualian cukai jualan sebanyak 50 peratus bagi kenderaan penumpang, SUV dan MPV CBU mulai 5 Jun hingga 31 Disember 2020 di bawah PENJANA.

"Kami yakin pengenalan insentif ini sesuai pada masanya dalam usaha meningkatkan jualan dan mengurangkan pertambahan inventori.

"Menerusi langkah pemulihan sektor automotif, kami yakin ia juga menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara secara keseluruhannya," katanya.

Mengenai moratorium pinjaman yang akan berakhir September 2020, beliau berkata ia mungkin menjejaskan industri ini, khususnya pasaran mampu milik.

-BERNAMA

Berita Harian X