Selasa, 21 Julai 2020 | 11:24am
- Foto Kementerian Sumber Manusia
- Foto Kementerian Sumber Manusia

Industri sarung tangan, sawit kekurangan lebih 60,000 pekerja

KUALA LUMPUR: Dua industri utama bagi sektor eksport negara iaitu pengeluaran sarung tangan dan sawit memerlukan lebih 60,000 pekerja baharu bagi memenuhi permintaan global yang meningkat.

Dalam industri sarung tangan getah, penularan COVID-19 mencetuskan permintaan tinggi produk itu, sekali gus memerlukan tambahan pekerja kira-kira 25,000, sementara industri minyak sawit pula berdepan kekurangan pekerja kira-kira 36,000 orang, demikian kata peserta industri.

Setakat 31 Mac 2020, dijangka terdapat lebih 500,000 pekerja terbabit dalam sektor perladangan. Difahamkan, sektor perladangan sawit mencatatkan kebergantungan yang tinggi terhadap pekerja asing iaitu 77 peratus.

Naib Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Dr Supramaniam Shanmugam, berkata permintaan terhadap sarung tangan getah sangat kukuh, malah tanpa COVID-19, permintaan sarung tangan getah diunjurkan meningkat sebanyak 10 peratus hingga 12 peratus.

Beliau berkata, ketika ini, industri berkenaan menggaji 71,800 pekerja, yang mana 28,000 terdiri daripada pekerja tempatan, manakala 43,800 lagi adalah pekerja asing.

Justeru, katanya, peserta industri bercadang memerlukan tambahan pekerja tempatan seramai 10,000 orang dan tambahan pekerja asing sebanyak 15,000 orang bagi memenuhi permintaan global.

"Kami cuba meminimumkan pekerja asing. Rancangan mengurangkan pekerja asing perlu dilaksanakan secara berperingkat dan ia perlu pelan jangka panjang berbanding pelan segera.

"Buat masa ini, kami perlu mengkaji semula agenda sama ada kerajaan mahu meningkatkan/mengekalkan pendapatan eksport atau mengurangkan pekerja asing. Kita perlu seimbangkan antara kedua-dua agenda," katanya pada Invest Malaysia 2020 - Siri Kedua Virtual yang dianjurkan Bursa Malaysia Bhd dan CGS-CIMB semalam.

Supramaniam berkata, pihaknya menjangkakan Malaysia membekalkan kira-kira 67 peratus atau 220 bilion sarung tangan getah bagi memenuhi permintaan global tahun ini.

Beliau berkata, ketika pra-COVID-19, industri sarung tangan getah mencatatkan pertumbuhan antara 12 peratus dan 15 peratus, sementara ketika COVID-19, industri mencatatkan pertumbuhan 20 peratus dan pasca COVID-19 sebanyak 17 peratus.

Mengenai keadaan pasaran pekerjaan dalam industri sawit pula, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Nageeb Wahab, berkata industri berkenaan masih bergantung kepada pekerja asing, terutama dalam pekerjaan berkaitan penuaian.

Beliau berkata, kekurangan pekerja adalah antara cabaran yang dihadapi peserta industri sawit ketika ini di samping keadaan cuaca yang ekstrim.

"Kami meminta kerajaan membantu kami untuk rakyat negara ini yang menganggur untuk bekerja. Bagaimanapun, sambutan penduduk tempatan adalah kurang memberangsangkan," katanya.

Berita Harian X