Rabu, 15 Julai 2020 | 2:42pm
COVID-19 melonjakkan permintaan terhadap sarung tangan getah - Foto Bloomberg
COVID-19 melonjakkan permintaan terhadap sarung tangan getah - Foto Bloomberg

Permintaan sarung tangan dianggar cecah 330 bilion unit

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menganggarkan permintaan sarung tangan getah meningkat sehingga 25 peratus kepada 330 bilion unit tahun ini, dipacu oleh pandemik COVID-19.

Presiden MARGMA, Denis Low dan Naib Presidennya, Dr S Supramaniam dalam satu taklimat industri dipetik sebagai berkata, kekurangan bekalan sarung tangan getah ketika ini adalah meruncing serta dijangka berpanjangan sehingga separuh kedua 2021.

Macquarie Research yang hadir pada taklimat itu menjelaskan, kebanyakan permintaan terarah kepada sarung tangan nitril memandangkan pengguna sarung tangan terbesar, Amerika Syarikat (AS), lebih terarah kepada penggunaan produk berkenaan.

Justeru, katanya ini melebarkan beza harga antara sarung tangan nitril dan sarung tangan lateks kepada antara 30 hingga 60 peratus.

"Ini memberi petunjuk bahawa syarikat yang mempunyai campuran nitril lebih tinggi dan harga lebih fleksibel akan menikmati purata harga jualan lebih baik serta margin pertumbuhan lebih kukuh," kata firma penyelidikan itu.

Ia berkata, MARGMA menjangkakan purata harga jualan sarung tangan getah akan menjadi normal pasca pandemik, namun ia tidak akan kembali ke paras sebelum COVID-19 berikutan penggunaannya yang lebih tinggi.

"Berdasarkan sejarah, pengeluar akan mempunyai kuasa rundingan lebih baik dengan adanya permintaan lebih tinggi.

"Kami menganggarkan bagi setiap satu peratus kenaikan purata harga jualan, ini akan menaikkan perolehan sektor ini sebanyak empat hingga lima peratus," katanya.

Macquarie Research mengesahkan lagi pendirian 'overweight' ke atas sektor sarung tangan getah kerana berpendapat ia barangan penting dalam industri penjagaan kesihatan dan permintaan dipacu COVID-19 terus melonjakkan pertumbuhan pendapatan sektor ini sehingga separuh pertama 2021.

Pilihan utamanya adalah Top Glove, dengan harga sasaran RM30.40 berikutan pendedahan pelanggannya yang lebih meluas selain penambahan kapasiti pada 2020 hingga 2021.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X