Rabu, 1 Julai 2020 | 2:09pm
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE)

MATRADE, CIMB bantu PKS bina daya tahan eksport

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan CIMB Group Holdings Bhd mempercepatkan usaha untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membina daya tahan eksport dan mencapai pertumbuhan baharu.

Kerjasama di bawah Program Pengeksport PKS Mampan yang dilancarkan pada Oktober 2019 itu, bermatlamat membina kapasiti yang mampan untuk pengeksport Malaysia.

Melalui kerjasama dengan perunding mampan IMPACTO, MATRADE-CIMB berjaya menyelesaikan orientasi perintis untuk kumpulan perintis sebanyak 40 PKS daripada sektor makanan dan minuman (F&B) pada Jun.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pengeksport MATRADE, Sharimahton Mat Saleh, berkata kemampanan dapat membantu PKS memenuhi keperluan eksport negara lain dan memanfaatkan pasaran baharu dengan jayanya.

Katanya, lebih banyak ekonomi maju dan pengguna celik yang lebih cenderung memilih produk yang dihasilkan secara mampan.

"Program Pengeksport PKS Mampan adalah hasil daripada program lima tahun MATRADE iaitu Sustainability Action Values for Exporters (SAVE) yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu, bertujuan membina kapasiti dalam kemampanan pengeksport Malaysia," katanya.

Mengenai kebimbangan perniagaan terhadap faktor kos kemampanan, Sharimahton berkata, MATRADE melihat amalan lestari sebagai sebahagian penting dalam strategi perniagaan.

"Kami berharap PKS akan mengetahui bahawa tindakan mampan yang mudah seperti mengurangkan penggunaan tenaga dan memastikan kesejahteraan dan kebajikan pekerja kita sebenarnya dapat menjimatkan kos dan meningkatkan produktiviti, sambil membuka peluang perniagaan baharu," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Bhd, Ahmad Shahriman Mohd Shariff, berkata pihaknya berbesar hati dapat menjayakan webinar pertama dengan MATRADE untuk Program Pengeksport Mampan PKS.

"Program ini bertujuan untuk meningkatkan kemampuan pengeksport tempatan di bidang EES dan juga sebahagian daripada komitmen CIMB untuk menjadi pelopor dan pemangkin amalan EES di ASEAN.

"Melalui pengenalan pelbagai penyelesaian mampan, PKS tidak hanya diberikan akses ke pasar global, tetapi juga diberi insentif untuk beroperasi secara bertanggungjawab dengan mengintegrasikan prinsip-prinsip kemampanan ke dalam proses perniagaan harian mereka.

"Melihat kepada cabaran yang dihadapi PKS sewaktu pandemik ini, adalah amat penting untuk mereka mengikuti program ini dan melihat betapa mustahaknya bersedia dari segi kemampanan dan membina daya tahan untuk berkembang," katanya.

Berita Harian X