Khamis, 25 Jun 2020 | 12:27pm
Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi 0.7 peratus pada suku pertama tahun ini
Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi 0.7 peratus pada suku pertama tahun ini

Ekonomi Malaysia diunjur menguncup 3.8 peratus - IMF

KUALA LUMPUR: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk menguncup 3.8 peratus tahun ini, berbanding penguncupan 1.7 peratus yang dibuatnya sebelum ini.

Ekonomi Malaysia bagaimanapun diunjurkan IMF untuk kembali pulih pada 2021, dengan pertumbuhan 6.3 peratus.

Pada suku pertama lalu, Malaysia mencatatkan pertumbuhan 0.7 peratus di sebalik jangkaan ekonomi negara akan mengalami penguncupan.

Unjuran yang dibuat dalam laporan Kemas Kini Tinjauan Ekonomi Dunia 2020 itu adalah berikutan impak COVID-19 terhadap aktiviti global pada separuh pertama tahun ini adalah lebih buruk daripada jangkaan awal.

IMF dalam laporannya itu berkata, ekonomi global diunjurkan menguncup 4.9 peratus pada 2020, lebih rendah berbanding unjuran penguncupan 3.0 peratus yang dibuat pada April lalu.

"Perbelanjaan, khususnya, merosot di kebanyakan ekonomi, mencerminkan gangguan lebih besar daripada jangkaan terhadap aktiviti domestik," katanya.

Menurut IMF, perbelanjaan swasta yang lebih lemah mencerminkan gabungan permintaan rendah daripada perintah berkurung, selain penjimatan yang dibuat sebagai langkah berjaga-jaga.

"Tambahan pula, pelaburan dijangka kurang memberangsangkan kerana firma menangguhkan perbelanjaan di tengah-tengah situasi yang amat tidak menentu.

"Sokongan dasar sebahagiannya dapat mengimbangi kemerosotan permintaan domestik," katanya.

IMF berkata, secara dasarnya aktiviti global dijangka perlahan pada suku kedua 2020, sebelum kembali pulih selepas itu.

Ekonomi global, katanya diunjurkan berkembang 5.4 peratus pada 2021, berbanding unjuran pertumbuhan 5.8 peratus yang dibuat April lalu.

"Perbelanjaan diunjurkan mengukuh secara berperingkat tahun depan, manakala pelaburan dijangka meningkat, walaupun kekal pada paras sederhana.

"KDNK global bagi 2021 secara keseluruhannya diunjurkan mengatasi paras 2019," katanya.

Berita Harian X